KANGAR : Lelaki warga emas dan anaknya yang ditemukan meninggal dunia di rumah mereka di Taman Datuk Setia, Jalan Kaki Bukit di sini Sabtu lalu disahkan positif Covid-19.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, hasil bedah siasat terhadap Bakar Yaacob,79, dan Ahmad Rizal Bakar, 53, di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Isnin lalu mendapati, dua beranak berkenaan sememangnya positif virus itu.
Katanya, pihak hospital kemudian mengesahkan punca kematian kedua-dua beranak tersebut adalah disebabkan Covid-19.
“Kedua-dua mayat tersebut dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Paduka Kangar kira-kira pukul 9.30 malam hari sama,” katanya di sini hari ini.
Sabtu lalu, akhbar ini melaporkan, seorang lelaki warga emas dan anak lelakinya ditemukan mati dipercayai akibat jangkitan Covid-19 di rumah mereka di Taman Datuk Setia, Jalan Kaki Bukit dekat sini.
Mayat dua beranak itu ditemukan anggota polis selepas menerima laporan daripada jiran mangsa dan dipercayai mereka meninggal dunia kira-kira dua hari sebelum itu.
Malah, seorang warga emas yang merupakan isteri mangsa pula ditemukan dalam keadaan murung bersama mayat suami serta anaknya.
Isteri mangsa tersebut kemudian telah disahkan positif Covid-19 kategori empat dan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Sementara itu, Wari memberitahu, isteri warga emas tersebut yang sudah dikenal pasti identitinya kini berada di HTF.
“Dia dikuarantin selama 14 hari bermula 25 September dan tamat pada 8 Oktober ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE