KOTA BHARU: Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ingin memasuki negara ini untuk mencari kerja perlu membayar sehingga RM11,000 kepada sindiket penyeludupan.
Jumlah tersebut merangkumi kos membawa masuk secara haram dan latihan asas bahasa Melayu bagi membolehkan mereka melepasi pemeriksaan tanpa menimbulkan syak.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ahmad Radzi Hussain berkata, bayaran pakej yang tinggi itu lazimnya diuruskan oleh saudara-mara atau rakan yang sudah bekerja di Malaysia.
Menurutnya, bayaran tersebut disalurkan kepada ejen sindiket sama ada di negara asal atau di lokasi transit tertentu sebelum PATI dibawa masuk ke negara ini.
“Sebaik tiba di Malaysia, PATI akan mencari pekerjaan dan menggunakan pendapatan mereka untuk melangsaikan semula kos kemasukan tersebut.
“Perkara ini menunjukkan kegiatan penyeludupan PATI masih dikendalikan oleh sindiket yang terancang dan melibatkan rangkaian antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Ahmad Radzi berkata, sindiket juga menyediakan latihan asas bahasa Melayu supaya warga asing dapat memasuki Malaysia tanpa dikesan pihak berkuasa.
Katanya, ia bagi membolehkan migran itu menjawab soalan asas sekiranya diperiksa pihak berkuasa atau ditanya masyarakat setempat.
“Bahasa Melayu ini agak mudah dipelajari, jadi mereka diajar perkara asas seperti memperkenal diri atau menjawab soalan ringkas. Bagaimanapun, jika ditanya lebih lanjut, mereka biasanya tidak dapat menjawab kerana apa yang dipelajari hanyalah hafalan,” katanya
Sementara itu, Ahmad Radzi mengakui sindiket penyeludupan mengubah laluan dengan menjadikan laut dan Sungai Kelantan sebagai jalan baharu kepada kegiatan haram mereka.
Katanya, ia susulan perobohan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.
“Setiap laluan sempadan termasuk pesisir pantai dan Sungai Kelantan sentiasa dipantau. Kami memang ada maklumat tentang aktiviti penyeludupan di Sungai Kelantan,” ujarnya.
Menurut beliau, bagi mengukuhkan lagi kawasan perairan negara, pihaknya bercadang membuka sebuah pos kawalan di Pulau Tengkorak di Pengkalan Kubor.
Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut masih dalam peringkat cadangan.
“Saya yakin dan percaya jika hasrat itu menjadi kenyataan, kawalan sempadan negara menjadi lebih ketat sekali gus boleh membendung penyeludupan,” ujarnya. – UTUSAN










