Kedai makan jual air ketum diserbu, 13 ditahan termasuk tauke

Kedai makan jual air ketum diserbu, 13 ditahan

BEKAS berisi cecair disyaki air ketum dirampas dalam serbuan di sebuah kedai makan di Kampung Sungai Badak, Kota Setia dekat Teluk Intan, Perak, kelmarin. - FOTO/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun antara 13 individu yang ditahan ketika sedang menikmati air ketum di sebuah kedai makan di Kampung Sungai Badak, Kota Setia di sini kelmarin.

Individu berusia 17 hingga 58 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Hilir Perak dan Balai Polis Teluk Intan pada pukul 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, serbuan dijalankan berdasarkan maklumat awam yang mendakwa kedai makan berkenaan menjual air ketum kepada pelanggan.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, 12 lelaki dan seorang wanita berusia 58 tahun sedang leka minum disyaki air ketum. 

“Seorang yang ditahan merupakan pemilik kedai makan berusia 52 tahun manakala yang lain adalah pelanggan yang sedang duduk di tiga meja berasingan.

“Terdapat tiga botol plastik dengan kandungan 1.5 liter berisi cecair disyaki ketum dirampas dari atas meja makan manakala dua bekas plastik dengan kandungan 12 liter berisi cecair sama turut dirampas dari dapur kedai berkenaan,” katanya di sini hari ini.  

Menurutnya, siasatan mendapati, kedai itu mula menjual air ketum kepada pelanggan sejak enam bulan lalu.

Katanya, kebanyakan pelanggan merupakan mereka yang telah biasa datang ke kedai makan berkenaan dan boleh membuat pesanan air itu kepada peniaga.

“Kesemua yang ditahan termasuk remaja lelaki berusia 17 tahun yang tidak lagi bersekolah itu telah direman tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN