Jumpa mentor politik kenangan terindah Ismail Sabri  - Utusan Malaysia

Jumpa mentor politik kenangan terindah Ismail Sabri 

ISMAIL Sabri Yaakob beramah mesra dengan Sabbaruddin Chik dalam majlis makan malam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu peristiwa yang cukup bermakna apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpeluang bertemu dengan individu yang disifatkannya sebagai mentor dalam arena politik, Tan Sri Sabbaruddin Chik, dalam majlis makan malam semalam.

Dalam satu hantaran yang dikongsikan di Facebook Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd. Anuar Yunus yang juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Sabbaruddin pada 1995 hingga 1999, pertemuan kedua-dua pemimpin itu membuatkannya sebak kerana majlis tersebut menyatukan mereka kembali.

Jelasnya, pertemuan selama hampir dua jam itu diisi dengan perbualan termasuk mengenang kisah lama, cerita suka duka dan pahit manis dalam politik negara termasuk gagasan Keluarga Malaysia yang dibawa Ismail Sabri sejak menyandang jawatan Perdana Menteri.

“Ketika pulang, Datuk Seri Ismail Sabri turut merendah diri membantu menolak kerusi roda Tan Sri Sabbaruddin Chik ke kenderaannya, menjadikan satu momen yang cukup indah bagaimana seorang anak murid yang kini bergelar Perdana Menteri mengenang budi dan jasa bekas majikannya.

“Melihat layanan beliau, mengingatkan saya satu perkara iaitu ‘apa guna ilmu yang dimiliki setinggi langit andai diri tidak dihiasi dengan adab mulia’,” katanya dalam hantaran tersebut.

Rata-rata pengguna Facebook turut mengucapkan kesyukuran dan menghargai jasa yang pernah dicurahkan oleh Sabbaruddin sepanjang dalam jawatan dalam kerajaan.

Sabbaruddin yang kini berusia 80 tahun merupakan bekas Ahli Parlimen Temerloh merangkap bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada 1987 hingga 1997.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN