JPN seru kemas kini alamat MyKad - Utusan Malaysia

JPN seru kemas kini alamat MyKad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemohon yang ingin mengemas kini alamat pada MyKad boleh hadir ke mana-mana Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berhampiran untuk memohon pertukaran alamat tanpa perlu membuat janji temu.

Menurut kenyataan akhbar JPN, pihaknya sedang membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam proses pengemaskinian alamat pemilih lanjutan daripada pelaksanaan Semakan Prapendaftaran Pemilih Automatik (SPPA).

Katanya, ini berikutan pengumuman SPR yang meminta pemilih-pemilih supaya mengemas kini alamat pada MyKad sekiranya mereka tidak tinggal di alamat yang dipaparkan.

“Justeru, pemohon perlu membawa dokumen sokongan sebagai bukti alamat baharu seperti bil utiliti, cukai pintu, cukai taksiran atau borang taksiran cukai pendapatan.

 “Pemohon juga boleh menggunakan perjanjian jual beli rumah atau perjanjian atau resit sewa rumah sekiranya bil utiliti tidak didaftarkan atas nama pemohon,” menurut kenyataan tersebut di sini hari ini.

Dalam pada itu, pemohon diingatkan untuk membawa dokumen sokongan berkaitan dalam bentuk asal atau salinan yang diakui sah.

Bagi pemohon yang tidak mempunyai kedua-dua dokumen dinyatakan tersebut, mereka perlu mendapatkan dokumen sokongan daripada ketua kampung atau tuai rumah atau penghulu atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen.

 “Majikan atau dokumen lain boleh digunakan untuk membuktikan alamat terkini mereka,” ujarnya.

Sebarang maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat, JPN di talian 03-88807077 atau emel ke [email protected]y. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN