fbpx

30 November 2021, 10:55 am

Johor Bahru perintis bandar pintar Malaysia

MBJB akan melaksanakan kajian Pelan Tindakan Khas Bandar Pintar 2022 setelah bandar raya itu terpilih sebagai projek perintis bandar pintar di Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bandar raya Johor Bahru diletakkan sebagai bandar perintis bagi projek bandar pintar di negara ini selain turut terpilih untuk menganggotai ASEAN Smart City Framework.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, sehubungan itu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan melaksanakan kajian Pelan Tindakan Khas Bandar Pintar pada tahun 2022.

“Dalam usaha merealisasikan pembangunan bandar pintar di Johor Bahru ini, MBJB akan melaksanakan projek Smart Centre MBJB dengan kos antara RM3 hingga RM5 juta.

“Projek yang terletak di aras 15 Menara MBJB itu akan berfungsi sebagai pusat integrasi data dan pemantauan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MBJB, di sini hari ini.

Tambah beliau, bagi memperkasa semula ekonomi setempat, MBJB telah mengenal pasti empat lokasi menaik taraf anjung selera di Taman Puteri Wangsa, Taman Daya, Larkin dan Taman Pelangi dengan anggaran kos pelaksanaan sebanyak RM2.3 juta.

“Anjung selera ini akan dinaik taraf kepada reka bentuk yang kondusif dan dilengkapi dengan kemudahan sistem solar, sistem perangkap air hujan, sistem perangkap minyak biodiversiti serta kelengkapan kamera litar tertutup (CCTV).

“Projek ini semestinya akan memberi nafas baharu kepada para peniaga dan pengunjung selain membantu melonjakkan sektor pelancongan bandar raya ini yang cukup sinonim dengan pelbagai makanan dan juadah tradisinya,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd. Noorazam turut memberitahu pihaknya mengambil perhatian terhadap pembangunan usahawan kecil dan sedang merangka pelan pembangunan dan penyusunan semula tapak penjaja kepada kelompok penjaja sedia ada.

“Usaha itu akan dilaksana secara berperingkat bermula tahun ini hingga 2025 dengan MBJB menyasar untuk membangunkan 10 tapak penjaja berkelompok baharu dan lima tapak food truck baharu di bandar raya ini,” katanya.

Dalam pada itu, MBJB akan membangunkan sebuah sudut ekologi di Perpustakaan Sultan Ismail sebagai inisiatif berterusan menjayakan Masyarakat Rendah Karbon (LCS) di bandar raya ini.

“Usaha ini melibatkan kerjasama Japan International Cooperation Agency (JICA), City of Kyoto, Kyoto Environmental Activities Association (KEAA) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

“Projek ini melibatkan peruntukan RM2.4 juta yang disalurkan JICA bagi tujuan konsultansi, penyediaan bahan di sudut ekologi, latihan staf, penganjuran seminar, bengkel dan program kemasyarakatan.

“Kesemua projek ini merupakan usaha komprehensif MBJB dalam memastikan pembangunan dengan mengambil kira aspek pembangunan mampan ekonomi, mampan sosial serta mampan alam sekitar,” tambahnya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI