MADINAH: Suasana penuh syahdu dan debaran menyelubungi bumi Madinah apabila ketibaan 284 jemaah haji Malaysia ke sini hari ini menjadi detik pembuka tirai operasi ibadah haji negara bagi musim ini.
Penerbangan Malaysia Airlines yang membawa kumpulan pertama bakal haji itu selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera
Mohammad Bin Abdulaziz dan kemudian dibawa ke tempat penginapan Hotel Emmal Royale.
Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman berkata, segala persiapan telah dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan jemaah dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.
“Mewakili Kerajaan Malaysia dan TH, saya ingin merakamkan rasa syukur atas ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia di Madinah.
“Ini adalah hasil perancangan rapi, kerjasama erat dengan pihak berkuasa
Arab Saudi serta komitmen berterusan TH dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan jemaah sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Terdahulu, ketibaan rombongan jemaah disambut oleh Syed Mohamad Bakri bersama Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Ridzuan Wahi dan Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Radin Adi Hilmi, barisan pengurusan kanan dan petugas Tabung Haji (TH).
Dalam pada itu, beliau mengingatkan jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan, memperbanyakkan ibadah serta mematuhi segala panduan dan arahan yang ditetapkan sepanjang berada di Tanah Suci.
Sepanjang enam hari di Madinah, para jemaah akan mengikuti program
yang telah diatur termasuk ziarah ke Masjid Nabawi, Makam Rasulullah SAW, Raudhah serta lokasi-lokasi bersejarah di sekitar Madinah.
Terdapat dua lagi penerbangan kumpulan jemaah haji akan tiba di Madinah pada hari ini iaitu KT02 seramai 284 orang jemaah, dijangka tiba pada 2.10 petang dan KT03 seramai 357 orang pada 9.10 malam waktu tempatan.
Operasi Haji 1447H/2026M yang telah bermula secara rasmi hari ini akan membawa kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia bagi menunaikan ibadah haji secara berperingkat ke Madinah dan Makkah menerusi 100 penerbangan sewa khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.- UTUSAN










