KOTA BHARU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Anwar Ibrahim menyarankan mana-mana pemimpin atau Ketua Cabang yang malas dan letih serta tidak mampu menggalas tanggungjawab disaran mengambil cuti daripada jwatan tersebut.
Beliau berkata, sikap segelintir pemimpin parti yang didakwa ‘ghaib’ selepas memenangi jawatan itu boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap perjuangan PKR
“Siapa yang rasa letih, beritahu… kita bagi cuti. Bukan musuh kita, tetapi kawan kita yang mungkin penat. Sebelum pemilihan sanggup bekerja keras, namun berubah selepas menang.
“Masa kempen, pukul 2,3 tiga pagi pun tak tidur, berhempas-pulas bekerja. Tapi bila dah menang, telefon tak jawab, WhatsApp tak baca, mesyuarat pun tak mahu hadir,” katanya semasa berucap dan merasmikan Mini Konvensyen Keadilan Kelantan di sini hari ini.
Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, budaya sedemikian tidak boleh dibiarkan berterusan kerana parti itu milik rakyat, bukan milik individu tertentu.
“Ini parti bukan hak mana-mana orang. Parti ini hak rakyat, hak mereka yang mahu bekerja dan berjuang angkat nasib rakyat,” tegasnya.
Anwar mengingatkan bahawa peluang menjadi calon pilihan raya hanya wajar diberikan kepada mereka yang benar-benar bekerja di peringkat akar umbi.
“Cabang berpuluh-puluh, semua nak jadi calon. Tapi kerja dulu. Ranting pun tak turun, macam mana rakyat nak yakin?” ujarnya.-UTUSAN










