Isu Hutan Simpan Bukit Cerakah belum berkesudahan, SACF tuntut penjelasan Exco - Utusan Malaysia

Isu Hutan Simpan Bukit Cerakah belum berkesudahan, SACF tuntut penjelasan Exco

WAKIL pertubuhan SACF berhimpun di hadapan Bangunan SUK Shah Alam, Selangor pada hari ini untuk menghantar memorandum kepada Loy Sian berkenaan isu Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) hari ini mengadakan perhimpunan aman di hadapan kompleks Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, bagi menuntut penjelasan kerajaan negeri terhadap status nyahwarta Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) berhampiran Seksyen U10.

Mereka hadir ke sana bagi menghantar permohonan temujanji untuk bertemu Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian bagi mendapatkan penjelasan beliau mengenai isu nyahwarta sebahagian HSKBC.

Ini kerana, persatuan itu mendakwa sehingga kini kerajaan negeri belum menunjukkan bukti penyahwartaan sebahagian kawasan hutan berhampiran Persiaran Mokhtar Dahari, sebaliknya hanya menunjukkan peta warta PW1443.

Bendahari Kehormat, Dr. Lim Teck Wyn yang juga merupakan penyelidik daripada pertubuhan itu berkata,  semakan dan carian dibuat terhadap kawasan tersebut tetapi belum menemukan warta kawasan berkenaan dikeluarkan daripada status hutan simpan.

“Sejauh mana yang kami faham dan tahu dari segi undang-undang perhutanan, ini (peta warta PW1443) bukan bukti kawasan-kawasan hutan di Seksyen U10 Shah Alam yang dipersoalkan itu.

“Kami juga telah membuat carian warta penyahwartaan kawasan hutan tersebut. Carian kami tidak menemukan sebarang maklumat yang dapat mengesahkan bahawa penyahwartaan berkenaan pernah dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghantar Permohonan Temujanji Untuk Penjelasan Berkenaan Status Nyahwarta Kawasan-Kawasan Hutan Di Seksyen U10 di Bangunan SUK, hari ini.

Utusan Malaysia pada 24 September lalu melaporkan, keluasan HSKBC diakui berkurangan kepada kira-kira 1,298.86 hektar sejak kali pertama diwartakan sebagai hutan simpan pada 1909 yang ketika itu seluas kira-kira 9,642 hektar.

Hutan yang terletak berhampiran dengan bandar itu sudah dinyahwarta sebanyak 21 kali bagi tujuan pembangunan komersial, perumahan, jalan raya serta institusi pengajian tinggi yang dilaporkan berlaku sebanyak 21 kali sejak 96 tahun lalu.

Justeru, HSKBC terus menjadi perhatian apabila terdapat dakwaan daripada SACF apabila Teck Wyn memaklumkan terdapat kira-kira 202.34 hektar hutan dalam kawasan HSK sedang dibersihkan.

Namun, hal itu dinafikan Loy Sian yang memaklumkan, pembersihan kawasan berkenaan berlaku di luar kawasan hutan simpan dan nyahwartanya diberikan kepada syarikat pemilik pada tahun 2000.

Bagaimanapun, beliau pernah memaklumkan, Kerajaan Negeri Selangor kini komited mengamalkan proses penggantian secara serentak bagi mana-mana kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang ingin dinyahwarta.

Dalam pada itu, Teck Wyn turut menuntut agar Notis Pemberhentian Kerja dikeluarkan oleh pihak berkuasa di kawasan yang didakwa  dinyahwartakan oleh kerajaan negeri tersebut.

“Sehubungan dengan itu kami menuntut pertemuan meja bulat diadakan dengan pihak exco bagi mengesahkan status nyahwarta hutan simpan yang dinyatakan beliau pada tarikh 24 September lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya