PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kerjasama erat ASEAN dengan Amerika Syarikat (AS) dalam bidang digital ketika ini sebagai tepat masanya.
Malah Malaysia menganggap usaha pembangunan teknologi itu bakal mempercepatkan usaha pemulihan sosioekonomi dan mencapai hasrat kemakmuran bersama warga serantau.
“Langkah pendigitalan segala perkara dengan pantas kini sudah menjadi norma kehidupan baharu dan ada keperluan bagi kita merapatkan jurang yang sebelum ini agak lebar,” katanya.
Beliau berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-AS secara maya yang turut julung kali disertai Presiden Joe Biden dan Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei sebagai Pengerusi ASEAN.
Persidangan tahunan itu bagaimanapun tanpa penyertaan pemimpin tertinggi junta Myanmar, Min Aung Hlaing yang dihalang oleh Sekretariat ASEAN atas permintaan Brunei selaku hos.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang turut kali pertama menghadiri program itu berkata, langkah kemajuan digital turut sejajar dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).
“Pemeteraian Pernyataan Bersama Pemimpin ASEAN dengan AS mengenai pembangunan digital dan Strategi Penyatuan IR 4.0 ASEAN sebelum ini juga tepat waktunya,” kata beliau.
Berdasarkan dokumen berkenaan, ASEAN dan AS akan bekerjasama saling menyokong dan memperkukuhkan proses transformasi dan pembangunan prasarana digital seluruh rantau ini.
Malaysia jelas beliau, turut bersedia melangkah kepada era berkenaan menerusi program tempoh jangka panjang MyDigital dan Pelan Rangka Ekonomi Digital Nasional (2021-2030).
Selaras perkembangan itu, agensi CyberSecurity Malaysia juga akan menganjurkan program pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan profesional keselamatan digital ASEAN.
“Justeru, kami sedia menerima sokongan AS bagi pelaksanaan inisiatif ini melalui pelbagai usaha memajukan kapasiti dan pemindahan pengetahuan keselamatan siber,” kata Ismail Sabri.
Dalam pada itu, Malaysia juga menghargai ikrar AS pada Sidang Kemuncak Covid-19 Global anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bulan lalu untuk menyumbang 500 juta dos vaksin.
Usaha ihsan itu diharap mampu bantu negara anggota ASEAN dalam memacu program imunisasi nasional masing-masing dan dapat memulihkan kembali ekonomi secara lebih pantas.
Meskipun kes baharu wabak itu semakin turun di seluruh dunia, masyarakat tidak perlu berasa selesa apabila banyak kelonggaran diberikan oleh pihak berkuasa untuk kemudahan rakyat.
Vaksinasi ketika ini jelas Ismail Sabri, terbukti sebagai alat berkesan mengekang penularan dan Malaysia akan terus bersuara agar agihan bekalan sejagat dinikmati secara lebih adil.










