PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin meminta orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman selepas rentas negeri dibenarkan, menjalani ujian kit ujian kendiri Covid-19 RTK air liur bagi memastikan mereka selamat daripada virus itu sebelum bertemu ibu bapa.
Kata beliau, mereka yang terdedah kepada penularan digalakkan untuk berbuat demikian secara berkala.
“1.6 peratus sebelum sempadan antara negeri dibuka. Semasa Kementerian Kesihatan telah beralih ke ujian simptomatik, kami mendorong orang yang berada dalam persekitaran hubungan dan mobiliti tinggi untuk melakukan ujian secara berkala.
“Sekiranya anda ingin pulang ke kampung untuk berjumpa dengan ibu bapa berusia, lakukan ujian air liur RTK. Jaga keselamatan mereka.
“Dalam peralihan menuju endemik, kita tidak perlu melibatkan pihak polis dan sebagainya bagi membuat sekatan jalan raya untuk memastikan anda telah divaksinasi penuh atau menjalani ujian. Kini bergantung kepada tanggungjawab dan sikap, saya yakin kita boleh menghadapi cabaran pembukaan selamat,” katanya dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Terdahulu, menurut laman CovidNow, sebanyak 20,698,852 atau 88.4 peratus rakyat berumur 18 tahun ke atas telah lengkap menerima vaksin Covid-19 manakala 94.5 peratus sekurang-kurangnya satu dos.
Perkembangan itu menyaksikan berbaki 1.6 peratus untuk menyasar kadar lengkap 90 peratus vaksinasi Covid-19 populasi dewasa apabila semalam merekodkan jumlah 88.4 peratus.
Ia sekali gus memberi gambaran awal bahawa sasaran 90 peratus boleh dicapai sekurang-kurangnya minggu ini seperti menepati hasrat kerajaan untuk membenarkan rentas negeri jika tercapai.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan.
Perkara berkenaan diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 22 September lalu. – UTUSAN ONLINE