KOTA TINGGI: Ketabahan seorang ibu tunggal bukan sahaja perlu membesarkan anak orang kurang upaya (OKU) berseorangan tetapi turut berjuang untuk dirinya yang disahkan menghidap kanser hati tahap empat.
Yusliza Md. Yunos, 37, berkata, penyakitnya mula diketahui pada tahun lalu setelah doktor mengesan terdapat ulser di bahagian ususnya.
Keadaanya semakin teruk apabila dia mengalami muntah-muntah serta tidak boleh bangun sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan oleh doktor mengesahkan dia menghidap kanser tersebut.
“Doktor memaklumkan kepada saya tiada harapan sebab hati saya sudah tidak boleh diselamatkan. Pelbagai ikhtiar saya lakukan termasuk rawatan tradisional namun mereka turut memaklumkan hati saya sudah teruk.
“Kini saya bergantung pada ubat suntikan yang perlu diambil tiga kali sehari. Ubat untuk tahan sakit itu berharga RM239 bagi setiap suntikan.
“Alhamdulillah apabila ambil suntikan itu didapati ia membantu mengurangkan sakit kerana saya tidak menjalani kimoterapi,” katanya kepada Utusan Malaysia di Felda Air Tawar 2, di sini, semalam.
Terdahulu, Yusliza menerima kunjungan sempena Ziarah Kasih Kami Anak Felda (KAF) oleh Pengerusi KAF Wilayah Johor Bahru, Nasaruddin Ahmad bagi menyerahkan bantuan wang tunai.
Turut sama, Penolong Pengurus Felda Air Tawar 2, Azwandy Mohd. Zin; Wakil Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Air Tawar 2, Rosli Amat Buhari.
Yusliza berkata, dia kini yang menetap di rumah ibu bapanya hanya bergantung kepada duit simpanan untuk menjalani rawatan, selain bantuan daripada ahli keluarganya.
Anaknya, Nur Batrisyia Mokhtar yang kini berusia tujuh tahun pula tidak mampu berjalan seperti kanak-kanak normal lain dan perlu bergantung kepada tongkat untuk bergerak kerana masalah kaki dialami.
“Dia kanak-kanak yang biasa macam yang lain, dari segi pelajaran dia normal cuma kakinya sahaja tidak boleh berjalan dan kini masih menjalani rawatan terapi di Hospital Sultan Ismail.
“Anak dapat bantuan bulanan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan duit itu memang saya gunakan untuknya sahaja,” katanya.
Orang ramai yang ingin turut sama memberi sumbangan bagi meringankan beban dua beranak itu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Islam Yusliza, 01069027780521. – UTUSAN