Hamzah dakwa hala tuju politiknya terima sokongan kukuh

Hamzah dakwa hala tuju politiknya terima sokongan kukuh

HAMZAH Zainudin ditemui pada Jamuan Pagi Aidilfitri Reset Melaka di Melaka hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa menerima sokongan kukuh berkenaan hala tuju politiknya ketika ini.

Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, sokongan itu diterima daripada pelbagai kumpulan termasuk dalam kalangan bekas ahli Bersatu yang telah dipecat serta yang masih belum dikenakan tindakan.

Katanya, perkembangan tersebut menunjukkan bahawa momentum politik yang dibinanya ketika ini semakin positif dan meyakinkan.

“Kalau saya banyak sokongan, ia tidak merugikan rakyat. Sokongan yang saya dapat daripada penyokong-penyokong yang dahulu dari Bersatu dan yang baharu, termasuk mereka yang ingin bersama dengan kami, menunjukkan bahawa sokongan itu sudah bertambah.

“Apabila sokongan bertambah, kita perlu menilai landskap politik negara yang memerlukan sesuatu yang lebih tegas serta mampu mengeluarkan perancangan untuk masa depan negara dan rakyat.

“Saya yakin apabila sampai masanya untuk saya mengumumkan apa juga parti sekalipun, yang penting sokongan sudah bersedia untuk bersama meneruskan perjuangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Jamuan Pagi Aidilfitri Reset Melaka di sini hari ini

Beliau turut memberi bayangan bahawa lebih ramai Ahli Parlimen dijangka menyatakan sokongan dalam masa terdekat, sekali gus memperkukuhkan lagi kedudukan kumpulan tersebut dalam landskap politik negara.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Larut itu menjelaskan, parti baharu yang bakal diumumkannya akan memberi penekanan kepada kepimpinan yang tegas serta perancangan jangka panjang demi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan negara.

Katanya, walaupun pelbagai spekulasi timbul berhubung struktur dan kepimpinan parti berkenaan, perkara tersebut akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

Menurutnya, kekuatan sokongan itu menjadi asas penting dalam menentukan hala tuju perjuangan politik yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

“Yang penting sekarang adalah kekuatan sokongan. Dalam politik, angka itu amat mustahak. Apabila sokongan semakin kukuh, ia memberi asas yang kuat untuk kita bergerak ke hadapan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN