Hujan lebat punca banjir di Yan berulang - Utusan Malaysia

Hujan lebat punca banjir di Yan berulang

SURAYA Yaacob (dua kiri) bergambar selepas merasmikan Program Pondok Buku ‘Book For Life’ di Taman Rekreasi Pendang hari ini. - UTUSAN/NUR ANATI JUHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Kejadian banjir yang berlaku di beberapa kampung di kaki Gunung Jerai, Yan semalam berpunca daripada hujan lebat yang melebihi 100 mililiter dalam tempoh tiga jam sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Tenaga serta Pengairan dan Saliran negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, jumlah hujan yang berlebihan itu menyebabkan sungai-sungai di kampung terlibat tidak dapat menampung air hujan tersebut.

Katanya, keadaan tersebut menyebabkan air sungai tersebut melimpah memasuki kawasan kampung berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya, kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai tersebut yang cetek selepas kejadian kepala air pada 18 Ogos lalu telah dilakukan bermula baru-baru ini.

“Kontraktor masih menjalankan kerja-kerja mendalamkan serta mengalih batuan yang ada di dalam sungai akibat kejadian kepala air yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pondok Buku Book For Life’ di Taman Rekreasi Pendang di sini hari ini.

Dalam kejadian banjir kira-kira pukul 6 petang semalam, lebih 300 buah rumah di 10 kampung dilanda banjir selepas hujan lebat berpanjangan sejak pukul 4.30 petang.

Sebahagian rumah penduduk terutama yang terletak di kaki Gunung Jerai dan sepanjang Sungai Yan dinaiki air sehingga satu meter.

Antara kampung terlibat ialah Kampung Seberang Pekan Yan, Kampung Acheh, Kampung Lubok Boi dan Kampung Telok Mat Acheh.

Suraya memberitahu, proses pemasangan sangkar batu atau gabion akan dilakukan di cerun-cerun sekitar kawasan kejadian kepala air itu.

“Selain itu, Jabatan Mineral dan Geosains juga memberi khidmat nasihat dalam usaha memastikan kejadian kepala air tidak berlaku lagi serta menjamin keselamatan penduduk berkenaan,” tambahnya.  

Dalam pada itu, Suraya juga Pengerusi Yayasan Pendidikan Pendang berkata, Program Pondok Buku bertemakan Book For Life ini merupakan yang pertama dilaksanakan di negeri ini.

“Sebanyak 10 lokasi telah ditetapkan sebagai lokasi bagi mengembangkan program ini iaitu enam di sekolah-sekolah dan empat lagi di taman-taman rekreasi sekitar daerah ini.

“Orang ramai dialu-alukan membaca atau menyumbang buku-buku di mana-mana lokasi yang terdapat pondok buku ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya