SERI KEMBANGAN: Sejumlah RM29,222,054 faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dibayar kepada waris pencarum akibat kes Covid-19 setakat 9 Oktober lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ia melibatkan sebanyak 37,337 kes mengikut jenis faedah berkaitan caruman Perkeso dengan bayaran terbanyak membabitkan Faedah Hilang Upaya Sementara berjumlah RM15,061,285 selesai dibayar kepada 19,564 dari 28,615 kes.
Beliau berkata, ini diikuti sejumlah RM7,483,357 bayaran Pencen Penakat bagi pekerja tempatan iaitu 2,237 dari 2,807 kes selesai dibayar, sebanyak RM5,105,645 bayaran Faedah Pengurusan Mayat (2,617 kes) dan sebanyak RM346,923 bayaran Faedah Orang Tanggungan (47 dari 51 kes).
“Bagi pekerja asing pula, sejumlah RM1,210,543 dibayar untuk Faedah Hilang Upaya Sementara melibatkan 2,147 dari 3,238 kes serta sebanyak RM14,300 bagi lima kes Faedah Pengurusan Mayat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menziarahi keluarga lima beradik yang menjadi yatim piatu selepas kematian kedua ibu bapa mereka akibat Covid-19 dan menyampaikan faedah Perkeso.
Berdasarkan semakan caruman Perkeso terhadap pasangan suami isteri tersebut, hanya si isteri yang layak menerima faedah Perkeso menerusi Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Sehubungan itu, waris kepada Allahyarham Ida Haryanie iaitu lima orang anaknya layak mendapat Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar beserta Pencen Penakat sebanyak RM835.70 yang akan dibayar setiap bulan sehingga mereka mencecah usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.
Saravanan berkata, buat masa ini, kedua-dua bayaran faedah tersebut disalurkan kepada datuk waris, Abdul Razak Basiron yang kini memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan penjaga lima beranak tersebut.
Dalam pada itu, Saravanan menyeru kepada semua majikan untuk mencarum kepada setiap pekerja mereka dan mana-mana majikan yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan iaitu penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
“Saya beri amaran kepada majikan jangan sampai ada yang menjadi mangsa penjara dua tahun kerana gagal mencarum. Saya bukan nak ugut, ini tanggungjawab semua majikan. Bayangkan kalau tidak ada caruman Perkeso, apa akan jadi kepada anak-anak mereka jika berlaku perkara tidak diingini.
“Sebelum ini lebih 2,500 majikan telah dikenakan tindakan pendakwaan kerana gagal mencarum kepada pekerja mereka. Kali ini tindakan penguatkuasaan akan lebih tegas untuk mengenal pasti mana-mana majikan melakukan kesalahan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE