Hampir 5,000 warga Afghanistan sudah dibantu Malaysia   - Utusan Malaysia

Hampir 5,000 warga Afghanistan sudah dibantu Malaysia  

SEBAHAGIAN warga Afghanistan ceria menerima bantuan daripada misi kemanusiaan Malaysia sebelum ini. – IHSAN GPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 60 tan metrik keperluan makanan asas  diagihkan Malaysia kepada hampir 5,000 rakyat Afghanistan di negara bergolak tersebut sehingga Ahad lalu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia disampaikan menerusi misi kemanusiaan yang digerakkan Global Peace Mission (GPM) dan Muslim Volunteer Malaysia.

“Penerima bantuan ini terdiri daripada golongan ibu tunggal, anak yatim, keluarga fakir miskin dan  mangsa perang,” katanya menerusi hantaran dalam akaun sosial rasmi beliau.

 Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia itu memasuki Afghanistan pada 1 Oktober lalu malah mengadakan pertemuan dengan pemangku Menteri Luarnya, Amir Khan Muttaqi.

Sesi perjumpaan tersebut bagi mendapatkan jaminan pihak berkuasa negara itu yang ditadbir Taliban sejak 15 Ogos lalu, untuk misi penyaluran bantuan kemanusiaan kepada rakyatnya susulan resolusi yang dicapai pada Persidangan Kuala Lumpur Mengenai Afghanistan: Kemunculan Semula dan telah diadakan secara maya pada 26 September lepas.

Pengerusi GPM, Datuk Ahmad Azam Ab. Rahman yang juga Pesuruhjaya Hak Asasi di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dilantik Penasihat Khas Hal Ehwal Afghanistan di Wisma Putra.

 Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, berdasarkan laporan petugas di negara tersebut pada pertengahan tahun ini, 18.4 juta rakyat Afghanistan masih memerlukan bantuan segera.

“Separuh daripada populasi kanak-kanak di bawah umur lima tahun bakal berdepan isu kekurangan zat, manakala satu daripada tiga pula dengan masalah bekalan makanan,” katanya.

 Malaysia tidak mempunyai pejabat kedutaan di Kabul dan segala urusan diplomatik berkaitan Afghanistan diakreditasi kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India.

 Beliau turut berharap agar misi kemanusiaan tersebut dapat meringankan beban rakyat negara itu dan menyeru agar warga Malaysia terus tampil prihatin menyalurkan sumbangan.

 Derma berkenaan, ujar beliau, boleh disalurkan melalui laman rasmi www.peduliafghanistan.com dengan rujukan #PeduliAfghanistan atau hubungi GPM 03-41443411. – UTUSAN ONLINE 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya