KUALA LUMPUR: Almarhumah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali disifatkan sebagai insan yang sentiasa membawa ketenangan kepada orang di sekelilingnya selain menjadi sumber kekuatan dan pendamping setia kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jasa, pengorbanan dan sumbangan Almarhumah kepada negara akan terus dikenang seluruh rakyat Malaysia.
Beliau berkata, Almarhumah bukan sahaja tokoh yang disegani rakyat Malaysia, malah seorang insan yang sentiasa menunjukkan sifat keibuan, kemuliaan budi dan keprihatinan kepada semua yang mengenalinya.
“Sepanjang saya mengenali Tun Dr. Mahathir dan keluarga, Almarhumah sentiasa menjadi sumber kekuatan, pendamping yang setia serta insan yang sentiasa membawa ketenangan kepada orang di sekelilingnya.
“Jasa, pengorbanan dan sumbangan beliau kepada negara akan terus dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya di Facebook hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau dan keluarga turut merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr. Mahathir serta seluruh ahli keluarga atas pemergian Almarhumah.
“Saya dan keluarga mengucapkan salam takziah yang setulusnya kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga atas pemergian insan yang amat dikasihi, Almarhumah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, ke rahmatullah pagi ini,” katanya.











