KUALA LUMPUR: Tiada sebarang pertemuan berlangsung antara BN dengan mana-mana gabungan parti di Menara Dato’ Onn hari ini bagi rundingan persefahaman menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pertemuan rundingan itu tidak berlangsung pada hari ini.
“Mana ada meeting (pertemuan). Saya maklumkan tadi tidak ada meeting,” katanya ditemui di pekarangan Ibu Pejabat UMNO.
Terdahulu, beliau tiba di Menara Dato’ Onn pukul 2.40 petang bersama beberapa pimpinan negeri, termasuk penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan penyandang DUN Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan.
Pada masa sama, tidak kelihatan mana-mana pemimpin daripada gabungan parti lain hadir di Menara Dato’ Onn.
Semalam, Ab Rauf, memaklumkan rundingan persefahaman politik antara BN dan gabungan parti untuk menghadapi PRN Melaka Ke-16 akan bermula hari ini.
Ab Rauf mengesahkan pertemuan pertama bersama gabungan parti terbabit akan berlangsung di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn dan dijangka turut disertai Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata, beberapa perkara asas akan dikemukakan kedua-dua gabungan parti berkenaan, termasuk berkaitan ketetapan BN untuk mempertahankan 21 kerusi DUN yang dimenangi pada PRN 2021.











