Golongan antivaksin susahkan diri sendiri - PM - Utusan Malaysia

Golongan antivaksin susahkan diri sendiri – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Kerajaan tidak akan ‘menyusahkan’ kehidupan harian golongan antivaksin sebaliknya mereka yang berbuat demikian terhadap diri sendiri. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seperti mana kelonggaran diperoleh individu lengkap divaksin, golongan antivaksin tidak memperolehnya seperti kebenaran rentas negeri. 

“Mereka yang tidak ada vaksin tidak ada kemudahan berbanding mereka yang sudah ada (lengkap) vaksin… mereka yang tidak divaksin ini tidak dibenarkan rentas negeri sebagai contoh, orang lain yang sudah lengkap vaksin boleh (rentas negeri) jumpa ibu bapa kampung. 

“Begitu juga dengan kemudahan lain seperti menunaikan umrah dan tahun depan pula ibadah haji… syarat untuk (menunaikan) umrah dan haji ditetapkan kerajaan Arab Saudi perlu lengkap dua dos, kalau tidak, mereka tidak boleh ke sana. 

“Itu yang mungkin (kesusahan) dimaksudkan YB KJ (Khairy Jamaluddin)… bukannya kerajaan yang akan susahkan mereka atau sengaja nak menyusahkan mereka (yang belum divaksin) dan tidak perlulah sampai memaksa semua rakyat menerima vaksin, sepatutnya ia adalah atas kesedaran sendiri,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Upacara Pemakaian Pangkat Ketua Polis Daerah Bera dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bera di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, di sini hari ini. 

Khairy semalam dilaporkan sebagai berkata, Kementerian Kesihatan akan ‘menyusahkan’ kehidupan harian golongan antivaksin termasuk kemungkinan mewajibkan mereka menjalani ujian calitan Covid-19 secara mingguan dengan kos ujian ditanggung oleh mereka sendiri. 

Menteri Kesihatan itu berkata, walaupun vaksin tidak diwajibkan secara undang-undang, namun kerajaan tidak akan memberi muka kepada golongan yang memilih untuk menjadi minoriti dengan menolak vaksin. 

Khairy berkata, mungkin bunyinya sedikit kasar tetapi pendekatan kerajaan adalah untuk ‘menyusahkan’ hidup mereka yang memilih untuk tidak menerima vaksin.

Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan kumpulan antivaksin kerana apa yang menjadi keutamaan adalah aspek kesihatan awam dan keselamatan rakyat secara keseluruhannya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya