TAMPIN: Empat buat rumah di Felda Pasir Besar, Gemas di sini rosak bahagian bumbung dan atap akibat ribut dalam kejadian petang semalam.
Pegawai Daerah Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, dalam kejadian pukul 5 petang, tiada mangsa yang cedera.
“Pegawai Pejabat Daerah Kecil Gemas (PDKG) telah turun padang pagi ini bagi melihat kerosakkan dan akan segera melakukan kerja-kerja pembaikan.
“Ia hanya melibatkan kerosakan pada bumbung rumah akibat diterbangkan angin tetapi tiada penduduk yang cedera,” katanya ketika ditemui hari ini.
Seorang pemilik rumah yang terjejas, Ruzilah Abdul Rahman, 49, berkata, ketika kejadian dia berada di pekan Tampin sebelum seorang anaknya menghantar gambar menunjukkan atap rumah di dapur yang terbuka.
“Masa itu pukul 5 petang, bila tengok gambar saya terus menangis sebab sepanjang 49 tahun tinggal di sini tidak pernah kejadian ini berlaku.
“Ada pihak yang sudah hadir memberikan bantuan seperti memasang kanvas buat sementara sebelum bantuan baik pulih siap,” katanya.
Ruzilah berkata, dia terkejut dengan kejadian berkenaan namun berharap kediamannya dapat segera dibaik pulih.- UTUSAN