SEREMBAN: Empat individu termasuk tiga warga Myanmar dengan seorang daripadanya remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu minyak masak sebanyak 4,705 kilogram (kg) tanpa lesen sah.
Bagaimanapun, hanya tertuduh Chong Sze Thong, 52, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tiga warga Myanmar iaitu Thung Khaw, 27; Moe Myint Weh Yan, 17; dan Nan Thet Khin, 32 kerana tidak memahami bahasa Melayu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama memiliki barang kawalan yang juga barang berjadual iaitu 4,705kg minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Perbuatan tersebut melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.15 tengah hari pada 7 April lalu di sebuah premis tanpa nama di Kampung Baharu Mantin, di sini.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kedua atau seterusnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Azmil Aspara memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh warga tempatan.
Peguam Mohd Amin Arsan yang mewakili Chong Sze Thong memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM3,000 hingga RM3,500 sebulan.
Menurutnya, tertuduh yang telah berkahwin perlu menanggung isteri dan dua anak yang masih bersekolah, selain menyara ibunya serta ibu saudara yang uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan Chong Sze Thong diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di pejabat KPDN setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tiga tertuduh warga Myanmar.
Kes kemudian ditetapkan pada 27 April ini untuk sebutan semula serahan dokumen dan laporan kimia terhadap Chong Sze Thong selain sebutan semula bagi menyediakan jurubahasa Myanmar kepada tiga tertuduh warga asing. – UTUSAN










