Tiga warga asing ditahan minta derma di KLIA

Tiga warga asing ditahan minta derma di KLIA

TANGKAP layar seorang wanita warga asing meminta sumbangan derma daripada orang awam di KLIA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis menahan tiga warga asing selepas dipercayai meminta sumbangan derma daripada orang awam di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, tangkapan dibuat kira-kira pukul 2 petang susulan maklumat tular di media sosial mengenai kegiatan individu tidak dikenali yang meminta derma di kawasan terminal.

Beliau berkata, tangkapan melibatkan seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 48 hingga 50 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga individu berkenaan meminta sumbangan daripada warga asing lain dengan alasan untuk membeli makanan dan keperluan diri selepas kehabisan wang tunai.

“Siasatan lanjut mendapati mereka tiba di KLIA dari pusat peranginan Genting Highlands sebelum menjalankan kegiatan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, semakan juga mendapati individu terbabit adalah mereka yang sebelum ini tular dalam aplikasi TikTok kerana menyasarkan orang awam untuk meminta sumbangan derma.

Ravi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 28(g) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM250 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana disyaki menyalahgunakan permit, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan individu tidak dikenali yang meminta sumbangan, khususnya di kawasan KLIA 1 dan KLIA 2.

“Sebarang maklumat atau kejadian mencurigakan diminta supaya dilaporkan kepada pihak polis dengan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN