MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md. Rawi Mahmud yang berjaya mengekalkan kerusi disandang selama dua penggal, berharap agar Barisan Nasional (BN) mengetengahkan calon tempatan bagi menggantikan dirinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kelak.
Beliau berkata, demografi penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut majoriti terdiri daripada nelayan dan mereka yang bekerja sendiri, sekali gus memerlukan perhatian calon anak tempatan meneruskan khidmat kebajikan.
Jelasnya, sekiranya calon ditampilkan adalah dari penduduk tempatan dan anak jati kawasan itu, pemimpin berkenaan lebih memahami akan tanggungjawab dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat.
“Penduduk Tanjung Bidara ini daripada para nelayan, mereka yang bekerja sendiri dan sebahagian kecil sahaja yang bekerja dengan kerajaan.
“Paling penting kebajikan nelayan itu sendiri, di samping keperluan menambah baik prasarana di sepanjang pantai. Jadi biarlah penduduk tempatan (menjadi calon). Calon tempatan ini dia faham suasana kehendak begitu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan, Md. Rawi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Tanjung Bidara pada PRN Melaka.
Katanya, beliau mengambil keputusan tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepada muka baharu menjadi wakil rakyat di situ.
Dalam pada itu, Md. Rawi menambah, beliau berharap calon yang bakal diketengahkan adalah dalam kalangan orang muda berusia 50 tahun ke bawah.
“Yang penting kita mahukan ada penyertaan daripada golongan muda, nampak kehadiran orang muda dalam calon yang ditampilkan. Biarlah dia berusia bawah 50 tahun.
“Saya juga menyeru rakan-rakan yang sudah lama, bagilah jentera baharu yang boleh memacu kemajuan negeri. Bagi saya untuk jawatan politik ini kita juga perlukan tenaga muda yang bertenaga boleh melontarkan buah fikiran untuk menaikkan DUN,” katanya.