Kenaikan tarif air perlu untuk biayai projek infrastruktur baharu - Zairil

Kenaikan tarif air perlu untuk biayai projek infrastruktur baharu – Zairil

ZAIRIL KHIR JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pelaksanaan tarif air baharu di Pulau Pinang dibuat bagi memastikan operator bekalan air negeri mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk melaksanakan pelbagai projek infrastruktur kritikal yang melibatkan kos berbilion ringgit.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, keuntungan yang diperoleh oleh syarikat operator air negeri iaitu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) ketika ini tidak mencukupi untuk membiayai keseluruhan projek pembangunan dan penaiktarafan sistem bekalan air yang dirancang.

Menurut beliau, pelbagai projek baharu perlu dilaksanakan bagi menjamin bekalan air yang mampan kepada pengguna pada masa hadapan.

“Keuntungan yang ada sekarang tidak mencukupi walaupun syarikat mencatatkan keuntungan. Kita memerlukan dana yang lebih besar untuk membiayai semua projek yang dirancang,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

PBAPP akan melaksanakan kadar air baharu di negeri ini bermula 1 Julai ini selepas pelaksanaannya ditangguhkan selama setahun atas arahan kerajaan negeri.

Susulan pengumuman kenaikan tarif itu, Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang, Oh Tong Keong, membidas tindakan berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu lagi beban yang dikenakan ke atas rakyat tanpa mengambil kira kesukaran hidup serta tekanan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat.

Zairil berkata, antara projek yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Mengkuang yang kini dalam pembinaan selain dua LRA baharu di Sungai Kerian.

Katanya, dua loji di Sungai Kerian itu masing-masing berkapasiti 80 juta liter sehari (MLD) dan 114 juta liter sehari yang memerlukan peruntukan yang besar.

Selain itu, katanya, projek pengambilan air mentah dari Sungai Perai dan Sungai Muda melalui sistem pam turut dirancang bagi memperkukuhkan sumber bekalan air negeri.

Menurut beliau, peruntukan tambahan juga diperlukan bagi kerja-kerja penggantian paip lama dan penaiktarafan infrastruktur bekalan air sedia ada di seluruh negeri.

“Kegagalan melaksanakan projek-projek tersebut berisiko menyebabkan masalah bekalan air berulang seperti yang pernah berlaku sebelum ini akibat kekurangan pelaburan dalam infrastruktur,” katanya.

Tambah beliau, ketika ini, kerajaan negeri masih mengambil kira kebajikan rakyat dengan memastikan kesan kenaikan tarif terhadap pengguna domestik yang menggunakan kurang daripada 35,000 liter air sebulan kekal terkawal dan pada kadar yang munasabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN