PETALING JAYA: Pelakon, Fimie Don mengakui dirinya kurang bersetuju dengan pemikiran sesetengah pihak yang berpendapat kerjaya dan rezeki seseorang individu datang daripada hasil bantuan manusia.
Menurut Fimie, dia percaya bahawa segala rezeki yang ditentukan dalam kehidupan setiap individu datang sepenuhnya dari Sang Pencipta.
“Dulu pernah seorang penerbit cakap pada saya, dia yang bagi saya kerja. Ada juga yang kata, saya perlu berbuat baik dengan penerbit-penerbit ini kerana mereka yang beri saya rezeki.
“Saya tidak boleh terima perkara ini. Maaf cakap. Kalau dia bagi saya rezeki, dia bagi saya kerja, baik saya tukar ayat mengucap saya kepada nama saya.
“Okay, maaf kasar sikit. Tapi maksud saya, rezeki saya bukan datang daripada mana-mana atau sesiapa di dunia ini. Rezeki saya 100 peratus datang daripada Allah. Dan kita sesama manusia hanyalah penyampai rezeki itu,” katanya di Threads.
Fimie berkata demikian kerana tersentuh dengan perkongsian seorang individu yang berkongsi mengenai seorang warga emas yang menjadi asbab dia mampu meneruskan impiannya untuk menjual pewangi selepas nekad berhenti kerja.
“Kenapa tiba-tiba cakap tentang ini? Sebab cerita abang ini membuka hati saya untuk berkongsi bahawa rezeki yang dihadiahkan oleh Allah boleh datang melalui sesiapa sahaja.
“Tidak kira umur, tidak kira bangsa, malah daripada jaga kucing pun ada rezekinya,” jelasnya.
Dalam masa sama, pelakon drama Hikayat Putera Shazlan itu turut menegaskan rezeki itu boleh datang daripada pelbagai bentuk dan bukan melalui wang ringgit semata.
“Rezeki ini bukan duit semata-mata. Kalian pun tahu perkara ini, jodoh, ilmu, duit, masih boleh bernafas, cukup pancaindera. Alhamdulillah.
“Terima kasih sebab berkongsi. Semoga awak dan pak cik dimurahkan rezeki dengan kadar segera dan berkekalan, Insya-Allah,” ujarnya. -UTUSAN










