Dua OKU penglihatan mahu catat nama ekspedisi berkayak

Dua OKU penglihatan mahu catat nama ekspedisi berkayak

MUHAMAD Shahrizal Ismail (kiri) dan Khairruddin Mazli menjalani latihan berkayak di Kompleks Rakan Muda Kampar, Perak, hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Dua orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan mahu mencatat nama dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR) berkayak sejauh 20 kilometer menyusuri Sungai Perak pada 5 November ini.

Khairruddin Mazli, 30, dan Muhamad Shahrizal Ismail, 24, akan berkayak dari Kem Intan Suraya di Sungai Siput hingga ke Jambatan Victoria, Karai di Kuala Kangsar.

Ekspedisi itu bersempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. 

Mereka yang merupakan peserta kursus Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) OKU Refleksologi di bawah pemantauan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) giat menjalani latihan di bawah bimbingan pendayung solo negara, Adilla Abu Hassan dan Pegawai Belia dan Sukan Kampar, Yusnizah Md. Yusof, sejak sebulan lalu. 

Khairruddin, yang cacat penglihatan sejak berusia 17 tahun berkata, mereka berlatih selama lapan jam sehari mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang, iaitu latihan berkayak dan latihan fizikal.

“Saya berpengalaman menyertai ekspedisi berkayak di Pulau Langkawi sempena Hari Sukan Negara baru-baru ini, ini membuatkan saya lebih yakin untuk berkayak di Sungai Perak,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Rakan Muda Kampar, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Sementara itu, Muhamad Shahrizal yang cacat penglihatan sejak lahir berkata, dia menyertai ekspedisi itu untuk mencabar dirinya dalam acara lasak itu.

Dia yang bekerja sebagai tukang urut di Meru Raya, Ipoh mengakui tiada pengalaman dalam aktiviti lasak.

“Namun keluarga menyokong penyertaan saya dalam aktiviti kayak ini dan jurulatih juga sangat memahami kekurangan saya dengan memberikan tunjuk ajar yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Saidi berkata, ekspedisi itu akan dicatatkan dalam MBOR kerana aktiviti berkayak itu dilakukan dua individu OKU.

Katanya, kedua-dua mereka mempunyai semangat luar biasa untuk melengkapkan ekspedisi itu. 

“Ekspedisi ini akan dijadikan kayu ukur terhadap pelaksanaan program pembangunan golongan TVET OKU di negeri ini. 

“Kita harap usaha mereka ini akan membuka mata banyak pihak untuk memartabatkan golongan OKU, seiring dengan pembangunan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya