Dua koperal polis didakwa terima rasuah bebaskan pesalah dadah - Utusan Malaysia

Dua koperal polis didakwa terima rasuah bebaskan pesalah dadah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Dua anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah bagi membebaskan seorang pesalah dadah di Mahkamah Khas Rasuah, di sini hari ini.

Kedua-dua tertuduh Sebestino Bong,42, dan Haikal Ibrahim Abdullah,32, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan dihadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Sebestino dan Haikal Ibrahim yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud masing-masing didakwa menerima rasuah daripada Anizan Misdaranai,39, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Anizan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Sebestino didakwa bagi dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM300 daripada Anizan yang dimasukkan ke dalam akaun Bank Rakyat milik tertuduh antara pukul 7.20 malam dan 7.21 malam pada 6 Jun 2017.

Sementara itu, Haikal Ibrahim didakwa atas sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,570 daripada Anizan yang dimasukkan ke dalam akaun Bank Rakyat milik tertuduh antara 25 Mei 2017 hingga 6 Julai 2018.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan bayaran antara RM6,000 (deposit RM3,000) dan RM8,000 (deposit RM4,000) beserta seorang penjamin tempatan.

Hakim menetapkan 29 September sebagai tarikh pengurusan kes dan kedua-dua tertuduh diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan diminta melapor diri setiap dua bulan di pejabat SPRM berhampiran.

Sebestino yang masih bertugas di IPD Lahad Datu dan Haikal Ibrahim yang bertugas di IPD Sandakan diingatkan agar tidak mengganggu mana-mana saksi.

Kes dikendalikan oleh Nurul Izzati Sapifee manakala, kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya