Dua dicekup ugut pegawai kanan polis - Utusan Malaysia

Dua dicekup ugut pegawai kanan polis

ARJUNAIDI MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua individu diberkas bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah melibatkan seorang pegawai kanan polis berpangkat deputi superintenden (DSP).

 Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima satu laporan polis mengenai kejadian berkenaan yang tular dalam media sosial.

“Dalam kejadian itu, mangsa merupakan seorang wanita berusia 36 tahun yang mendakwa diugut dan dicederakan.

 “Mangsa dikatakan ingin meminta semula wang yang sudah dipinjamkan kepada pegawai kanan polis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Jelas beliau, hasil siasatan kemudian membawa kepada penahanan dua individu yang disyaki terlibat dalam kes itu.

 “Polis sudah membuka dua kertas siasatan mengenai kejadian tersebut. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

 Sehubungan itu, Arjunaidi menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan berhenti menyebarkannya media sosial kerana kes berkenaan masih dalam siasatan.

“Polis Selangor memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara telus dan terperinci. Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan undang-undang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita mendakwa seorang pegawai polis meminjam RM100,000 daripadanya untuk membeli pangkat superintenden.

Dalam laporan polisnya, wanita itu mendakwa DSP berkenaan dan rakannya secara berasingan mengugut akan membunuh beliau dan keluarganya kerana meminta wang itu dipulangkan.

Wanita itu mendakwa DSP berkenaan yang juga rakannya bersetuju membayar semua wang itu jika perjanjian membeli pangkat tidak berjaya.

Ugutan maut itu didakwa dibuat di sebuah restoran di Taman Berkeley, Klang, pada 7 Oktober lalu. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN