Empat remaja antara ditahan buat aksi ‘superman’

Empat remaja antara ditahan buat aksi ‘superman’

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat orang remaja lelaki berusia 17 tahun antara sembilan individu ditahan selepas melakukan aksi ‘superman’ dalam Op Motosikal di Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban semalam.

Semua lelaki berusia antara 17 hingga 23 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan JSPT Negeri Sembilan dalam operasi bermula pukul 11.30 malam semalam hingga 8.30 pagi tadi.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menahan enam motosikal yang ditunggang dengan aksi meniarap seperti ‘superman’ dari Kilometer (KM) 274.3 sehingga KM 271 di lebuh raya berkenaan arah selatan pada puku; 2.05 pagi. 

Menurutnya, tiga lagi motosikal yang melakukan aksi sama di KM 284 sehingga KM 287 di lebuh raya berkenaan arah utara ditahan pada pukul  3 pagi untuk tindakan lanjut.

“Remaja berusia 17 tahun yang ditahan adalah mereka yang selesai menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Tiga remaja itu adalah rakan, manakala individu lain tidak saling mengenali. 

“Mereka ditahan kerana menunggang motosikal dengan aksi berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain. Ketika kejadian juga ada penunggang motosikal cuba melarikan diri namun tidak berjaya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, semua yang ditahan bersama motosikal masing-masing dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSTP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk tindakan selanjutnya. 

“Polis turut mengeluarkan 18 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi berkenaan membabitkan masing-masing tuga saman untuk mengubahsuai eksos, tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, kenderaan tiada nombor pendaftaran dan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan. 

“Selain itu, dua saman dikeluarkan atas kesalahan nombor pendaftaran kenderaan ‘fancy’ serta masing-masing satu saman mengabaikan isyarat lalu lintas dan tiada cermin pandang belakang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN