JIM Sarawak cekup 55 Pati di sekitar Kuching dan Bau

JIM Sarawak cekup 55 PATI di sekitar Kuching dan Bau

PENDATANG asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara mereka melalui ICQS Tebedu-Entikong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEBEDU: Seramai 55 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak di sini, semalam.

JIM Sarawak menerusi satu kenyataan, berkata kesemua PATI itu dicekup dalam operasi yang menyasarkan beberapa premis dan kawasan tumpuan di Siniawan Central, Pekan Bau serta sekitar pusat perniagaan di Batu 3.

Selain itu, katanya tumpuan turut diberikan kepada beberapa kediaman yang dijadikan bilik sewa oleh PATI di kawasan Taman Matang Bersinar dan Taman Satria Jaya, selain sebuah rumah kongsi pekerja berhampiran bulatan Simpang Tiga.

“Kesemua Pati tersebut ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Kuching untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa pihak imigresen akan meneruskan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta mengekang kehadiran Pati di negeri ini.

Sementara itu, JIM Sarawak berkata seramai 235 orang PATI warganegara Indonesia yang ditangkap baru-baru ini dihantar pulang ke negara asal mereka.

Katanya mereka terdiri daripada 135 lelaki dewasa, 85 perempuan dewasa, enam kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan.

“Pihak Depot Imigresen Bekenu telah melaksanakan operasi pemindahan darat warganegara Indonesia balik ke negara asal melalui laluan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu-Entikong bermula pada pukul 8 malam, 16 Disember lalu dan selesai sepenuhnya pada pukul 11 pagi, 17 Disember,” katanya.

Kenyataan itu menambah, seramai 16 pegawai telah ditugaskan sebagai pasukan iring kawal bagi memastikan kawalan keselamatan, kebajikan serta pengurusan logistik sepanjang tempoh pemindahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN