Dewan Negara: Senator desak kerajaan tarik balik jualan arak Timah - Utusan Malaysia

Dewan Negara: Senator desak kerajaan tarik balik jualan arak Timah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Senator Datuk Razali Idris mendesak kerajaan supaya menarik balik penjualan arak berjenama Timah di pasaran.

Beliau mempersoalkan, walaupun label arak itu tidak ada kaitan dengan Islam, namun  menggambarkan seolah-olah arak itu amat berkait rapat dengan budaya Islam.

“Ini bukan soal jenis arak atau bir, isunya sekarang adalah label Timah, label itu menunjukkan gambar pakai kopiah dan ada janggut, seolah-olah ia menunjukkan keislaman, sedangkan dalam Islam diharamkan arak.

“Jadi saya fikir kita minta kerajaan tarik balik penjualan arak tersebut, apakah kerajaan akan tarik balik?” katanya ketika mengajukan soalan tambahan di Dewan Negara hari ini.

Senator Ahmad Yahaya turut membangkitkan isu bagaimana arak Timah boleh diluluskan.

“Saya difahamkan jenama arak ini ada kaitan dengan bahan galian timah, tetapi ia menimbulkan masalah kerana jenamanya mengaitkan dengan Fatimah, anak kepada junjungan besar Rasulullah dan ini menimbulkan polemik negara,” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa menjelaskan, arak Timah yang dikeluarkan oleh syarikat Winepak Corporation (M) Sdn. Bhd. bukanlah produk yang baru mendapat lesen kerana syarikat itu adalah pelesen eksais sedia ada sejak 2003.

“Arak ini sejenis minuman keras wiski, ini bukan satu produk baharu mahupun lesen baharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam, malah pelabelan produk diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.

“Bukan itu sahaja, sejak 2005, Kementerian Kewangan telah membekukan lesen eksais minuman keras baharu, di bawah polisi ini juga termasuk aktiviti pembesaran premis, peningkatan kapasiti pengeluaran sedia ada, pertukaran perpindahan premis pengilangan ke dalam zon bebas dan mempelbagaikan produk keluaran sedia ada.

“Jadi, tiada lesen eksais pengilangan rokok atau minuman keras diberikan. Malah Kementerian Perdagangan Antarabangsan dan Industri (MITI) juga telah membekukan lesen pengilangan produk berduti eksais dibawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 sejak 2003,” katanya.

Bagaimanapun, Yamani tidak memberikan sebarang jawapan sama ada kerajaan akan mengambil tindakan terhadap penjualan arak Timah.

“Kita tidak boleh mengawal pandangan masyarakat tentang sebuah imej dan label, lagipun Kapten Speedy ada nilai dari segi sejarah berkaitan negara tentang permulaan pembawaan minuman keras di negara ini.

“Nama itu diluluskan oleh Kementerian Kesihatan, namun saya tidak boleh beri kepastian kementerian mana yang boleh buat keputusan tentang perkara yang dicadangkan Senator,” katanya.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, perkara itu boleh dibawa ke peringkat jawatan kuasa Parlimen.

“Perkara ini boleh dibawa ke mana-mana peringkat jawatan kuasa, kita bangkitkan perkara ini untuk diambil tindakan supaya kementerian dapat menilai semula,” katanya.

Dalam pada itu, Yamani memaklumkan, bagi keseluruhan 2020, Jabatan Kastam berjaya melakukan rampasan kes penyeludupan dan pengedaran minuman keras bernilai hampir RM20.07 juta, dengan bilangan kes sebanyak 694 kes.

“Ini melibatkan nilai cukai berjumlah RM36.32 juta dengan rekod rampasan tertinggi iaitu Johor (134 kes), Sarawak (119 kes) dan Selangor (70 kes).

“Bagi tempoh September 2021 tahun ini, jumlah rampasan adalah sebanyak 629 kes dengan nilai rampasan RM14.05 juta melibatkan nilai cukai RM47.29 juta, manakala bilangan kes rampasan tertinggi adalah Johor dengan 132 kes, Sarawak (104) dan Kuala Lumpur serta Sabah masing-masing mencatatkan 56 kes,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya