'Datuk Seri Panglima' akui celaru personaliti dituduh menipu - Utusan Malaysia

‘Datuk Seri Panglima’ akui celaru personaliti dituduh menipu

FEROZ Musa mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyamar dengan gelaran Datuk Seri Panglima serta menipu di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru di Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang bekerja sendiri dihadapkan ke dua mahkamah di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyamar sebagai pemegang gelaran Datuk Seri Panglima dan melakukan penipuan sejak tahun lalu hingga Januari tahun ini.

Tertuduh, Feroz Musa, 47, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan ke atas tiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Majistret Zuhainie Zull Kafli.

Di Mahkamah Sesyen, dia berdepan dua pertuduhan mengakui diri sebagai pemegang sah anugerah Datuk Seri Panglima masing-masing pada pukul 3.12 petang, 23 Jun 2020 di Larkin Perdana dan pada pukul 3.20 pagi, 8 Januari lalu di Jalan Padi Ria 2, Bandar Baru Uda.

Mengikut pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Fasal 4(1) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM100,000 dan tidak lebih RM250,000 serta penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tiga atau kedua-duanya.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Feroz didakwa menggunakan gelaran berkenaan untuk memperdaya seorang wanita berusia 45 tahun sehingga memasukkan RM11,600 ke dalam akaun tertuduh antara 24 Disember 2020 hingga 5 Januari tahun ini di Maybank Bandar Baru Uda.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan mengurangkan jaminan, tertuduh yang pernah berkhidmat sebagai Pengaturcara Sistem Pertahanan Udara memaklumkan dia menanggung ibu bapa dan tiga orang anak serta mendakwa dia merupakan individu yang mempunyai penyakit kecelaruan personaliti.

“Saya mempunyai ‘split personality disorder’ yang disahkan Bahagian Perubatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Saya terkena radiasi daripada radar ketika bertugas. Perkara lain adalah rahsia kerajaan yang saya tidak boleh dedahkan,” katanya.

Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan di Mahkamah Sesyen, manakala Zuhainie menetapkan jaminan RM3,000 bagi pertuduhan di Mahkamah Majistret.

Kedua-dua mahkamah itu turut menetapkan tarikh 14 November ini untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aqilah Ahmad Fuad dan Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya