PONTIAN: Percutian pasangan suami isteri yang bertugas di barisan hadapan bersama anak-anak tergendala apabila rumah mereka dilanda ribut yang turut menyebabkan sebatang pokok durian menghempap bumbung rumah di Kampung Parit Selangor, di sini pagi ini.
Mohammad Zakri Wagi, 37, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Kayu Ara Pasong dan Nor Nadiah Yacob, jururawat di Klinik Kesihatan Pontian bertolak ke Desaru, Kota Tinggi, petang semalam.
Menurut Mohammad Zakri, percutian itu dirancang untuk menghiburkan tiga anaknya, Mohammad Zarif Nawfal, 9; Mohammad Zarif Nazreel, 7, dan Muhammad Zarif Nashriq, 3, yang sekian lama hanya terkurung di rumah.
Katanya, dia bergegas pulang setelah mendapati pokok berusia 30 tahun itu tumbang di bahagian hadapan rumahnya selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melalui telefon bimbit yang dipasang di kediaman itu.
“Terkejut apabila mendapati rumah saya dihempap sebatang pokok durian yang telah merosakkan bahagian anjung, awning dan garaj kereta disebabkan ribut yang kuat di Pontian pagi ini.
“Mujur juga ketika kejadian sebuah kereta Perodua Alza tiada di rumah yang biasanya diletakkan di garaj depan rumah manakala sebuah lagi kereta Proton Waja diletakkan di belakang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambah Mohammad Zakri, anggaran kerugian disebabkan kerosakan tersebut kira-kira RM20,000 kerana anjung di bahagian hadapan yang rosak itu baru siap dibuat pada tahun lalu.
“Namun saya bersyukur kerana ketika kejadian, isteri dan anak-anak tiada di rumah yang mungkin boleh menimbulkan ketakutan kepada mereka, malah hari ini pun saya pulang seorang diri sahaja dan akan kembali mengambil mereka di Desaru setelah rumah didapati selamat untuk diduduki,” katanya.
Dalam pada itu, dia mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kawasan (5) Mukim Pontian serta penduduk kampung yang telah bergotong-royong memotong pokok durian serta membersihkan sekitar rumahnya.
Hujan lebat beserta angin ribut kira-kira pukul 6 pagi ini telah menyebabkan beberapa pokok tumbang serta atap zink yang diterbangkan angin termasuk di kuarters kakitangan kerajaan di Jalan Syawal.
Kejadian turut merosakkan bahagian bumbung di kandang lembu milik penduduk, Abdul Samad Samiran di Kampung Parit Pak Khalib, Pekan Nanas.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, PPgB Mahadir Mamat berkata, pihaknya turut menghantar anggota bagi melakukan kerja-kerja membersihkan pokok yang tumbang.
“Antaranya pokok tumbang di Jalan Pontian-Kukup, Taman Nong Chik, Jalan Kampung Kelapa Batu 35 dan di Jalan Bakek yang menyebabkan laluan terhalang, menimpa garaj kereta dan sebagainya,” katanya.