Malaysia tidak tunduk pada mana-mana blok kuasa - PM

Malaysia tidak tunduk pada mana-mana blok kuasa – PM

ANWAR Ibrahim (kiri) bercakap pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara di Grand Hyatt di sini hari ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus bebas dalam membuat keputusan dan tidak sama sekali terikat dengan mana-mana blok kuasa terutama membabitkan perolehan strategik termasuk sektor pertahanan dan tenaga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap keputusan dibuat negara berdasarkan keperluan teknikal, kecekapan kos dan kepentingan negara, bukan tekanan geopolitik.

Menurut beliau, pendekatan tersebut membolehkan Malaysia berunding dengan pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Eropah, China dan Turkiye bagi mendapatkan tawaran terbaik.

“Jika perjanjian itu baik dan memenuhi spesifikasi, kita akan teruskan tanpa bergantung kepada rakan pembekal sedia ada,” katanya dalam sesi soal jawab Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, sistem perolehan sedia ada turut sedang diperbaharui bagi mengurangkan kos dan ketirisan termasuk melalui penambahbaikan struktur serta dasar yang lebih telus.

Beliau berkata, langkah reformasi itu berpotensi menurunkan kos sehingga antara 10 hingga 15 peratus melalui kecekapan pelaksanaan.

“Dalam masa sama, Malaysia mengambil pendekatan mempelbagaikan sumber bekalan termasuk dalam sektor tenaga bagi mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan global.

“Keupayaan membuat keputusan secara bebas dan fleksibel menjadi kekuatan utama negara dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN