Cuti bomba dibeku jika banjir kritikal - Utusan Malaysia

Cuti bomba dibeku jika banjir kritikal

MOHAMMAD Hamdan Wahid (tengah) memakaikan Pingat Ketua Pengarah Bomba kepada Timbalan Pengarah JBPM Johor, Pauzan Ahmad pada Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 di Johor Bahru. -UTUSAN/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak menolak kemungkinan untuk membekukan cuti keseluruhan anggota sekiranya berdepan dengan situasi banjir yang kritikal pada musim tengkujuh tahun ini. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, keputusan itu bergantung kepada tahap kritikal yang akan dilalui di kawasan yang berisiko seperti di beberapa buah negeri termasuk di Pantai Timur.

Katanya, sekiranya keadaan tidak begitu mendesak, hanya 20 peratus keanggotaan sahaja dibenarkan untuk bercuti selain mendapatkan bantuan JBPM Negeri yang tidak terjejas banjir seperti di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan. 

“Kita akan lihat indikator keadaan banjir pada ketika itu. Jika keadaannya terlalu teruk, kita terpaksa bekukan cuti keseluruhan anggota di kawasan yang terjejas malah yang sedang bercuti akan dipanggil bekerja.

“Negeri yang tidak terkesan akan membantu di kawasan berisiko tinggi supaya tenaga kerja dan logistik mencukupi. Kita juga akan mendapatkan khidmat bantuan Bomba Komuniti dan Sukarela bagi turut sama membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2020 di sebuah hotel di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

Seramai 12,500 orang anggota di 324 balai bomba seluruh negara sudah bersiap sedia untuk berdepan kemungkinan bencana banjir pada musim tengkujuh ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan memberitahu, pihaknya bersedia untuk memindahkan pesakit serta keperluan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan hospital di kawasan berisiko tinggi.

Katanya, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dalam soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan operasi menyelamat dan menempatkan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). 

“Keadaan yang dihadapi ketika ini sangat mencabar kerana berdepan bencana dalam bencana (pandemik Covid-19). Kita kena pastikan mangsa banjir diasingkan sekiranya didapati positif Covid-19. 

“SOP dalam penugasan dioptimakan apabila anggota akan dibekalkan dengan penggunaan kelengkapan perlindungan diri (PPE). Kita tidak mahu wujud kluster baharu disebabkan penugasan operasi yang dijalankan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN