Cemas lihat dua ekor harimau kumbang dekat rumah - Utusan Malaysia

Cemas lihat dua ekor harimau kumbang dekat rumah

MUMTAZ Ahmad menunjukkan lokasi dua ekor harimau kumbang yang dilihatnya dalam kejadian di kawasan kebun bersebelahan rumah ibu saudaranya di Kampung Batu Chondong, Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, hari ini. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang wanita cemas selepas melihat kelibat dua ekor harimau kumbang kira-kira 100 meter dari rumah ibu saudaranya di Kampung Batu Chondong, Juasseh, di sini, malam semalam.

Mumtaz Ahmad, 36, berkata, sehari sebelumnya, mereka sekeluarga juga ternampak seekor harimau kumbang berlegar-legar berhampiran kawasan kebun sekitar pukul 6.30 petang. 

Kemudian, mereka tidak menyangkakan haiwan yang sama datang buat kali kedua malah bersama seekor lagi harimau kumbang.

Menurutnya, dalam kejadian terbaharu semalam iaitu sekitar pukul 7.30 malam, mereka terdengar bunyi salakkan anjing yang dipelihara bagi menjaga kebun durian serta ternakan mereka. 

“Kami berasa tidak sedap hati dan segera meninjau keadaan persekitaran menggunakan lampu suluh susulan hari sudah gelap.

“Saya nampak kambing seolah-olah memandang sesuatu dan setelah diperhatikan kami melihat dua ekor binatang berwarna hitam seakan-akan harimau kumbang.

“Sememangnya sejak awal tahun lalu kami ada ternampak kelibat harimau namun tidak pernah nampak dalam jarak sehampir ini serta sudah pula berada dalam kawasan kebun berpagar ibu saudara saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Batu Chondong, Juasseh, di sini, hari ini.

Mumtaz berkata, sejak 21 Mac lalu hingga 11 September lalu, sudah tujuh ekor kambing milik mereka lesap dan disebabkan kejadian semalam mereka percaya kehilangan berkenaan adalah disebabkan menjadi makanan harimau kumbang.

Menurutnya, ibu saudaranya sendiri sudah empat kali ternampak harimau kumbang berkenaan iaitu dua kali di musim durian dan kejadian semalam serta kelmarin.

“Kami sangat berharap agar pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan dapat mengambil langkah memasang perangkap bagi haiwan berkenaan kerana bimbang dengan keselamatan kami sekeluarga serta haiwan ternakan.

“Ikutkan bukan hanya haiwan ternakan kami sahaja yang lesap, ada juga penduduk lain berhadapan dengan masalah yang sama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun mengesahkan pihaknya menerima aduan berkenaan dan telah memasang  satu perangkap kamera bagi mengesan kehadiran harimau kumbang kawasan kebun pengadu hari ini.

Menurutnya, buat masa ini pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada binatang berkenaan merupakan harimau kumbang kerana hanya menemui tapak musang sahaja di lokasi tersebut. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN