BN bincang formula pengagihan kerusi PRN Melaka - Utusan Malaysia

BN bincang formula pengagihan kerusi PRN Melaka

ZAMBRY Abd. Kadir (kiri) dan Nolee Ashilin Mohamed Radzi melihat alat pengimbas haba di Jeti Penumpang Lumut hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kepimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan formula pembahagian kerusi sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan..

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir berkata, setakat ini tiada formula khusus dalam pembahagian kerusi yang bakal ditandingi dalam PRN negeri tersebut.

“Kita belum ada formula khusus untuk membincangkan dari segi kedudukan pembahagian kerusi ini kerana setiap pilihan raya tentunya mempunyai dinamiknya tersendiri iaitu kedudukan-kedudukan tersendiri dalam setiap kawasan.

“Maka, BN akan mengadakan pertemuan dengan semua pimpinan parti dalam komponennya untuk membincangkan dari segi pembahagian kerusi nanti sekiranya PRN diadakan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, di sini hari ini.

Zambry yang juga ADUN Pangkor menjelaskan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, BN bertanding di semua 28 kerusi di Melaka tetapi untuk PRN kali ini, ia tertakluk kepada perbincangan yang akan diputuskan nanti.

Menurutnya, jika mesyuarat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) esok mengesahkan ada PRN,  sudah tentu di peringkat kepimpinan BN akan membuat keputusan-keputusan khusus sama ada dalam usaha-usaha kerjasama ataupun sebaliknya.

“Saya telahpun mengadakan pertemuan awal dengan pihak kepimpinan di Melaka dan daripada pemantauan kita mereka telahpun membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan sama ada pilihan raya ataupun sebaliknya.

“Apapun yang paling mustahak ialah berikutan dengan pembubaran DUN Melaka maka menjadi kewajaran dan kewajipan bagi BN di Melaka dan juga BN di peringkat pusat untuk membuat persiapan-persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” jelasnya.

Menurutnya, isu calon pula akan ditentukan oleh pihak kepimpinan negeri dan pusat yg akan diumumkan oleh pihak kepimpinan BN nanti jika PRN diadakan.

Ditanya sama ada BN akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zambry memberitahu BN masih dengan kedudukan untuk tidak bekerjasama dengan parti tersebut.

“Kita tidak akan membuat sebarang kenyataan sehinggalah apabila ada sebarang kenyataan yang akan dikeluarkan oleh pihak kepimpinan kita (BN).

“Daripada kepimpinan dan keputusan UMNO telah sedia maklum dan telahpun diputuskan di peringkat Perhimpunan Agung UMNO (tiada kerjasama dengan Bersatu), namun apapun sebarang kemungkinan dan kebarangkalian ia akan dibuat di pihak kepimpinan tertinggi BN dan juga kepimpinan parti (UMNO),” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN