BIMP-EAGA disaran rintis rentas pelancongan secara selamat - PM

BIMP-EAGA disaran rintis rentas pelancongan secara selamat – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) mungkin boleh membuka sektor pelancongan sesama sendiri secara selamat  bagi memulihkan kembali industri pelancongan yang hanya melibatkan wilayah di empat negara berkenaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Mari kita meneroka kebarangkalian untuk ada pendekatan seragam yang membenarkan individu lengkap divaksin selepas ini mengembara dengan bebas dan selamat,” katanya.

Sidang kemuncak BIMP-EAGA Ke-14 secara maya itu turut disertai Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dan Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Kerjasama itu dilancarkan pada 1994 melibatkan Brunei, wilayah selatan Filipina; Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan Papua di Indonesia serta Sabah, Sarawak dan Labuan di Malaysia.

Mengulas lebih lanjut, Ismail Sabri berkata, pemulihan sektor pelancongan di rantau kecil timur Asia Tenggara itu sebenarnya mudah dikawal kerana jumlah populasi masih tidak ramai.

“Namun, mereka yang sudah lengkap imunisasi mungkin perlu menjalani kuarantin secara minimum atau tidak melalui proses birokrasi kelulusan kemasukan agak rumit,” tambahnya.

Beliau mengakui sektor berkenaan paling terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak awal tahun lepas apabila pintu sempadan semua negara ditutup bagi mengekang penularan luas.

Justeru, beliau mencadangkan agar sektor itu dijadikan fokus strategik BIMP-EAGA bagi membina balik pertumbuhan sosioekonomi penduduk tanpa mengabaikan isu risiko kesihatan.

Pada masa sama, beliau gembira dengan Inisiatif Bandar Hijau digerakkan pihak sekretariat dan Malaysia ujarnya, turut akan membangunkan sekurang-kurangnya dua pelan berkaitan.

“Ia meliputi Pelan Tindakan Bandar HIjau di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) untuk memacu pertumbuhan bandar raya di Malaysia dalam kawasan BIMP-EAGA,” katanya.

Ismail Sabri turut menyambut baik memorandum persefahaman antara BIMP-EAGA dengan Dana Kerjasama Korea Selatan yang akan melibatkan komitmen awal berjumlah AS$3 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN