Putera Mateen dilantik menteri luar dalam rombakan Kabinet Brunei

Putera Mateen dilantik sebagai Menteri Luar dalam rombakan Kabinet Brunei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR SERI BEGAWAN: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah melantik salah seorang putera baginda yang paling muda sebagai menteri luar dalam rombakan besar Kabinet, langkah yang dilihat sebagai persediaan bagi generasi pemimpin seterusnya di negara kaya minyak itu.

Sebagai anak ke-10 dan putera keempat Sultan, Putera Abdul Mateen berada jauh dalam susunan pewarisan takhta, namun penampilannya yang sering mendapat perhatian ramai menarik lebih tiga juta pengikut di Instagram, sekali gus memberikan wajah moden kepada institusi diraja Brunei.

Seorang lagi putera baginda yang lebih muda, Putera Abdul Malik turut dilantik ke dalam Kabinet menerusi perubahan yang diumumkan pemerintah berusia 79 tahun itu yang kebelakangan ini mengalami beberapa masalah kesihatan termasuk menjalani pembedahan penggantian lutut pada Januari dan mengurangkan kemunculan awam tahun ini.

Tahun lalu, baginda dimasukkan ke hospital akibat keletihan melampau ketika menghadiri sidang kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur.

Putera sulung baginda, Putera Mahkota Al-Muhtadee Billah, 52, kekal sebagai pewaris takhta dan bakal menggantikan ayahandanya yang merupakan pemerintah monarki paling lama memerintah di dunia ketika ini serta pernah dianggap individu terkaya dunia hasil kekayaan minyak dan gas Brunei.

Putera Mahkota itu, yang mempunyai dua putera dalam susunan pewarisan takhta, kekal sebagai Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam pengumuman yang disiarkan menerusi televisyen serta laman web rasmi kerajaan, Sultan Hassanal Bolkiah berkata, baginda akan terus memegang portfolio utama sebagai Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan.

Pelantikan terbaharu itu menjadikan jumlah anggota keluarga diraja dalam Kabinet kini seramai empat orang dalam sistem monarki mutlak Asia Tenggara itu.

Putera Abdul Malik, 42, iaitu putera kedua tertua Sultan dan individu keempat dalam susunan pewarisan takhta, memegang jawatan Kabinet pertamanya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau memiliki ijazah pendidikan dari sebuah universiti tempatan.

Dalam melantik putera-putera baginda yang lebih muda, Sultan Hassanal Bolkiah berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira minat mereka serta pendedahan awal dalam sistem pentadbiran kerajaan.

Putera Abdul Mateen merupakan pegawai tentera yang menerima latihan ketenteraan di Britain, berkhidmat dalam angkatan bersenjata Brunei serta merupakan juruterbang helikopter.

Beliau juga sering mengiringi ayahandanya dalam lawatan rasmi ke luar negara termasuk sidang diplomatik.

Sultan Hassanal Bolkiah berkata, Putera Abdul Mateen akan meneruskan kerjaya ketenteraannya sambil memegang portfolio Menteri Luar.

Beliau berkahwin pada Januari 2024 dalam satu majlis perkahwinan diraja yang mendapat perhatian ramai di Bandar Seri Begawan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN