PETALING JAYA: Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dalam proses rundingan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti alternatif untuk membina jajaran baharu politik Malaysia.
Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, jajaran baharu itu dapat membawa bersama harapan rakyat untuk sebuah negara yang unggul dan bermaruah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Aspirasi jajaran baharu ini adalah untuk kali ini membawa rakyat bersama memimpin negara, maka ini bermakna, kita memerlukan sebuah kepemimpinan baharu untuk menghadapi PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, parti itu turut memahami bahawa majoriti rakyat sudah muak dan bosan dengan situasi politik tanah air terutama permainan politik kotor parti-parti yang hanya mementingkan keuntungan peribadi mengatasi kepentingan rakyat serta negara.
Katanya, pada masa ini, perlu diakui bahawa negara ini sedang dirosakkan oleh pimpinan parti politik sedia ada yang korup, rasuah dan tidak berintegriti.
“Berjasa menawarkan sebuah kepemimpinan baharu untuk rakyat dalam PRU-15 melalui tujuh ciri politik baharu iaitu kepemimpinan baharu yang bebas daripada cengkaman budaya politik wang dan kawalan tradisi ‘warlord’, menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai tiang seri hubungan etnik, ke arah integrasi dan perpaduan nasional, serta menamatkan fenomena chauvinism dan rasisme.
“Selain itu, mengangkat agenda pemerkasaan orang Melayu dan bumiputera dalam segenap bidang, demi kestabilan politik jangka panjang, melangkaui sempadan kepartian dan kuasa, menimbang kepentingan pelbagai kaum secara rasional dan bijaksana, berpaksikan kepentingan negara serta menolak pendekatan populis semata mata,” katanya.
Tambah beliau, ciri itu juga merangkumi pemimpin bermaruah dan berprinsip, setia pada agama, bangsa serta negara yang dipilih berasaskan kualiti dan kewibawaan.
“Malah, bangga dengan identiti watan yang kaya dengan sejarah, nilai dan budaya tempatan yang tersendiri, tanpa perlu tunduk kepada kefahaman serta budaya asing dan mengamalkan tingkah laku beradab dan berakhlak mulia dalam usaha mencapai cita-cita politik,” katanya.
Pihaknya yakin dan percaya melalui tujuh ciri politik berkenaan bakal memberikan nafas baharu dalam landskap politik negara yang kini sudah rosak dan mengalami defisit kepercayaan.
“Dalam masa yang sama, sebagai salah satu inisiatif dari Berjasa, kami juga akan melancarkan dokumen Belanjawan Alternatif Berjasapada 27 Oktober ini yang juga dua hari sebelum pembentangan Belanjawan di Dewan Rakyat.
“Belanjawan Berjasa ini ditunjangi tujuh teras utama merangkumi 100 cadangan. Dokumen Belanjawan Berjasa akan diedarkan kepada semua media dan orang awam boleh mengakses dokumen Belanjawan ini di laman sesawang Berjasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE