Batu Puteh: Tun Mahathir perlu jawab mengapa PH tidak terus semakan

Batu Puteh: Tun Mahathir perlu jawab mengapa PH tidak terus semakan

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu menyatakan punca sebenar mengapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak meneruskan semakan terhadap penghakiman Pulau Batu Puteh.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara yang dinyatakan Ahli Parlimen Langkawi itu baru-baru ini tidak menjawab persoalan sebenar tentang Pulau Batu Puteh.

Menurutnya, Dr. Mahathir perlu mendedahkan siapa dan apakah nasihat yang diterima beliau dalam konteks bukti baru yang ditemukan sekiranya beliau telah dinasihati oleh sekumpulan pakar undang-undang antarabangsa.

DR. MAHATHIR MOHAMAD

“Benar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak boleh dirayu. Tetapi dengan timbulnya bukti terbaru, satu permohonan untuk semakan telah dikemukakan oleh Malaysia pada Februari 2017.

“Pada 30 Jun 2017, Malaysia juga mengemukakan permohonan untuk ICJ mentafsirkan penghakimannya pada 2008 tentang Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. ICJ telah bersetuju untuk mendengar penghujahan Malaysia dengan memberikan tarikh untuk pendengaran semakan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamed Khaled, Dr. Mahathir sudah tentu mengetahui bahawa dua daripada bukti baru yang ditemukan itu adalah dokumen yang hanya boleh diakses setelah tahun 2008 iaitu secara undang-undang apabila tempoh kerahsiaannya tamat.

Kata beliau, dokumen pertama menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura tidak pernah menganggap Pulau Batu Puteh sebahagian daripada Singapura, manakala dokumen kedua menunjukkan Tentera Laut British memperakui perairan di kawasan ketiga-tiga pulau tersebut adalah perairan dan wilayah Johor.

“Melalui dokumen terakhir pula memaparkan peta-peta operasi Tentera Laut British yang menunjukkan sempadan wilayah Singapura tidak termasuk Pulau Batu Puteh. Semua dokumen tersebut dengan jelas menunjukkan pulau berkenaan tidak berada dalam wilayah republik itu.

“Sudah sewajarnya penemuan bukti material ini memerlukan ICJ memutuskan nilainya terhadap tuntutan Malaysia. Jadi kenapa di sebalik semua bukti baru ini, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan proses semakan tersebut,” tegasnya.

Ujar Mohamed Khaled, dalam konteks tersebut jelas menunjukkan kerajaan PH telah cuai dalam tindakan mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia dan wajar dipertanggungjawab ke atas tindakan culas tersebut.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi mempersembahkan taklimat mengenai Pulau Batu Puteh.

Sehari sebelum itu, Dr. Mahathir berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk merujuk isu tuntutan pulau berkenaan kepada ICJ dengan kedua-dua pihak perlu berjanji secara bertulis akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat termasuk tidak ada rayuan terhadap keputusan ICJ yang muktamad.

Kata beliau, rujukan kepada ICJ hanya akan diterima oleh ICJ jika perjanjian menerima tanpa soal dan keputusannya dihormati, maka negara yang bermaruah mesti menghormati janji kecuali negara yang tidak bermaruah yang akan mungkir janji. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya