Basmi kemiskinan: Suhakam seru guna teras hak asasi - Utusan Malaysia

Basmi kemiskinan: Suhakam seru guna teras hak asasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyeru kerajaan menggunakan pendekatan berteraskan hak asasi manusia dalam usaha untuk membasmi kemiskinan.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara berkenaan termasuk penglibatan aktif golongan rentan dalam membuat keputusan yang melibatkan mereka, komitmen kerajaan sebagai pemegang amanah untuk memenuhi tanggungjawabnya, memastikan prinsip tiada diskriminasi dan kesaksamaan dipenuhi serta memperkasa setiap individu untuk menuntut serta menjalankan hak mereka.

“Suhakam mendapati bahawa kemiskinan terus wujud dalam kalangan mereka yang kurang bernasib baik dari segi ekonomi dan sosial khususnya pekerja gaji harian, pekerja kontrak, ibu atau bapa tunggal, Orang Asli dan orang kurang upaya (OKU). 

“Pandemik Covid-19 dan kekurangan sistem perlindungan sosial yang menyeluruh memburukkan lagi kerentanan golongan tersebut dan menjejaskan kebolehan mereka untuk melindungi diri daripada gangguan atau kehilangan mata pencarian yang disebabkan sekatan pergerakan dikuatkuasakan semasa pandemik.

“Terdapat laporan yang menyatakan bilangan isi rumah miskin meningkat daripada 405,400 pada tahun 2019 kepada 639,800 pada tahun 2020. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, impak sebenar pandemik lebih tepat digambarkan menggunakan Tinjauan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas yang akan dilaksanakan pada tahun 2022,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena Hari Antarabangsa bagi Pembasmian Kemiskinan yang diperingati setiap tahun pada hari ini. 

Tambah Suhakam, pihaknya menyeru agar semua pihak berkepentingan memainkan peranan masing-masing ke arah merealisasi dan melindungi hak komuniti rentan bagi memastikan mereka dapat menikmati sekurang-kurangnya standard minimum kehidupan yang bermaruah ditetapkan oleh Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

“Sementara mengakui usaha kerajaan untuk mengurangkan impak pandemik Covid-19 dan untuk mengurangkan kemiskinan tegar melalui Pelan Pemulihan Kebangsaan dan Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025), penting untuk mengambil maklum bahawa strategi yang lebih selaras diperlukan bagi memastikan semua rancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.