Basikal lajak: Jurujual kekal dibebas dan dilepaskan

Basikal lajak: Jurujual kekal dibebas, dilepaskan

SAM Ke Ting yang dituduh menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal ketika memandu kenderaan pada 2017 kekal dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan memandu secara melulu di Mahkamah Majistret Johor Bahru. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret hari ini mengekalkan keputusan seorang jurujual wanita dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak, empat tahun lalu.

Keputusan itu diputuskan Majistret Siti Hajar Ali yang membacakan keputusan kes di akhir pembelaan selepas tertuduh diarahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi, Februari lalu.

Tertuduh, Sam Ke Ting, 26, sebelum ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret tanpa dipanggil membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan, 28 Oktober 2019.

Siti Hajar yang membuat keputusan itu sebelum ini sekali lagi memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan serta keterangan diberikan tertuduh ketika membela diri adalah munasabah dan bukan penafian atau rekaan semata-mata. 

“Setelah mendengar keterangan dikemukakan dan menimbang hujah pendakwaan serta pembelaan di akhir kes pembelaan, adalah tidak selamat untuk mensabitkan kesalahan ke atas tertuduh. Ini selepas mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah. Tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.

Siti Hajar berkata, antara alasan mahkamah membuat keputusan tersebut ialah mengambil kira keterangan tertuduh yang tidak ada pengetahuan terhadap aktiviti basikal lajak di lokasi kejadian pada pukul 3 pagi itu adalah munasabah.

“Tertuduh yang dalam perjalanan pulang dari perarakan dewa Pesat Chingay menyatakan beliau tidak tahu ada aktiviti basikal lajak pada waktu itu dan tiada sebarang amaran terhadap keberadaan kumpulan basikal lajak di situ.

“Keterangan tertuduh dia yang memandu di bawah had laju dan berada di lorong paling kiri lokasi kejadian iaitu Jalan Lingkaran Dalam juga bertepatan dengan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), yang mendapati kenderaan tertuduh sama ada dipandu pada kelajuan 44.5 kilometer sejam atau 75.8 kilometer sejam,” katanya. 

Katanya, faktor permukaan lokasi kejadian itu yang mendaki bukit, berselekoh dan dalam keadaan gelap menyebabkan tertuduh menyatakan tidak nampak ada kumpulan basikal lajak di bahu, tepi dan tengah jalan di sebalik selekoh berbukit itu.

“Terdapat juga keraguan identiti sebenar pemandu kereta yang didakwa dipandu tertuduh.

Ini berikutan terdapat kewujudan seorang lagi lelaki berbangsa Cina di lokasi kejadian dan terdapat kemungkinan munasabah tertuduh menumpang kereta yang dipandu rakan itu.

“Timbul keterangan saksi lain yang mencetuskan persoalan yang gagal dijelaskan. Oleh itu, tertuduh tidak boleh dihukum atas kegagalan pegawai penyiasat melaksanakan tanggungjawab beliau dalam menyiasat kes dengan sempurna,” ujarnya. 

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu jurujual wanita itu dikembalikan semula kepadanya dengan serta-merta setelah digantung sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman, manakala Ke Ting diwakili peguam Muhammad Faizal Mokhtar.

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Ke Ting membela diri atas tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017 selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Mengikut pertuduhan, Ke Ting yang ketika kejadian berusia 22 tahun didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada pukul 3.20 pagi.

Kelapan-lapan mangsa terlibat ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14 (ketika kejadian); Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya