[BAJET 2022] RM30 juta untuk kemudahan internet PPR - Utusan Malaysia

[BAJET 2022] RM30 juta untuk kemudahan internet PPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi menyediakan kemudahan internet di 40 Projek Perumahan Rakyat (PPR) sedia ada bagi memastikan penduduk di kawasan perumahan berkenaan tidak ketinggalan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan pada tahun ini menyediakan RM700 juta untuk meneruskan usaha ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan 630 sekolah terutamanya di luar bandar di dalam menyediakan kemudahan jalur lebar terkini di bawah pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara atau Jendela.

“Bagi tahun 2022, perkhidmatan 5G akan diperluas kepada 36 peratus daripada kawasan kepadatan tinggi termasuk di bandar-bandar utama di Johor, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam pembentangan Bajet 2022 hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan akan menaikkan dana Skim Geran Pendigitalan PKS kepada RM200 juta dengan RM50 juta dikhususkan untuk usahawan mikro Bumiputera di luar bandar.

“Bagi menggiatkan lagi transformasi pendigitalan perniagaan dalam kalangan usahawan luar bandar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan juga mentransformasikan 600 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia sebagai Pusat Sehenti untuk membimbing usahawan mikro menggunakan teknologi digital.

“Nomad digital ialah golongan yang menjana pendapatan secara dalam talian tanpa lokasi fizikal yang tetap. Golongan ini berpotensi menyumbang kepada ekonomi negara terutamanya sebagai pelancong.

“Untuk memanfaatkan perkembangan ini, Kerajaan akan memperkenalkan program Malaysia Digital Nomad untuk mewujudkan komuniti dan ekosistem nomad digital di Malaysia dengan menggunakan sektor pelancongan sebagai pemangkin,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN