PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyifatkan pembentangan Bajet 2022 mampu memperkasa agenda perumahan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau bersyukur kementeriannya diberikan peruntukan mengurus dan pembangunan yang berimbang bagi merealisasikan aspirasi perumahan berdaya huni, perkhidmatan perbandaran yang mampan dan perkhidmatan kebombaan yang efektif.
Beliau berkata, cadangan-cadangan KPKT dalam memperkukuh agenda perumahan untuk rakyat diberi pertimbangan kerajaan.
“Antaranya dengan meneruskan projek-projek perumahan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.5 bilion.
“Ini membolehkan pembangunan rumah mesra rakyat dan bantuan menyelenggara perumahan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, kerajaan turut menyantuni kumpulan rentan yang tiada bukti pendapatan tetap seperti pekerja gig, pengusaha kecil dan petani yang tiada pendapatan tetap untuk memiliki kediaman idaman masing-masing.
Reezal Merican berkata, peruntukan sebanyak RM2 bilion disediakan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan juga memberi akses pembiayaan kepada golongan ini membeli rumah.
Menurutnya, satu lagi berita baik dalam merancakkan semula industri dan landskap perumahan adalah pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah bagi pelupusan oleh individu warganegara, pemastautin tetap dan selain syarikat mulai tahun keenam dan ke atas.
“Saya juga bersyukur, hasrat KPKT untuk melebarkan lagi aspirasi Malaysia Berdaya Huni kepada penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) juga diberi pertimbangan dengan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi menyediakan kemudahan internet di 40 PPR sedia ada,” katanya.










