PETALING JAYA: Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Syed Abdul Rahman menyifatkan Bajet 2022 hanya dilihat sekadar business as usual dan bukannya belanjawan untuk sebuah negara yang mahu keluar dalam pasca Covid-19.
Beliau berkata, Bajet 2022 sepatutnya menjadi satu jump-start kepada kerajaan untuk menghidupkan semula sektor ekonomi yang malap dan meneroka ekonomi baru.
“(Bajet 2022) tidak ada rancangan untuk tarik pelabur asing, tidak ada usaha untuk menyediakan ekosistem yang sesuai kepada orang untuk berniaga dengan selamat dalam era pasca Covid-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Semalam, kerajaan membentangkan bajet lebih besar dengan memperuntukkan sebanyak RM322.1 bilion yang bertujuan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara dan membantu golongan terkesan dengan berbilion ringgit diperuntukkan bagi sektor kesihatan serta pendidikan, selain meneruskan pemberian bantuan langsung.
Menurut Syed Saddiq, negara ini sudah perlu menjelajah ekonomi baharu merangkumi ekonomi blockchain, ekonomi revolusi industri 4.0 (IR 4.0) yang menyediakan akses internet yang pantas, murah dan menghidupkan inovasi dalam negara.
“Ini semua penting kerana Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) pun baru dibentangkan dan ia menyediakan rancangan lima tahun akan datang.
“Jadi, Bajet 2022 pun perlu buat hal yang serupa, namun malangnya, ia tidak digambarkan dengan baik,” katanya.
Tambah beliau, pihak kerajaan boleh membentangkan Bajet 2022 dengan peruntukan yang besar dan matlamat yang baik, namun pelaksanaannya juga perlu cemerlang.
“Contohnya, Bajet 2021 mahu agihkan 150,000 komputer riba kepada pelajar, tetapi tahukah kita bila ia habis diagihkan? Dua minggu lepas.
“Apabila pelajar sudah balik masuk sekolah dan kelas sudah bermula, maka baru ia (komputer riba) sampai rumah. Ini yang kita tak mahu berulang lagi, janji mahu bantu itu ini, tetapi perancangannya lemah dan penyampaiannya gagal.
“Oleh kerana itu, laporan Ketua Audit Negara menunjukkan negara rugi lebih RM620 juta kerana kerajaan tidak patuh pengurusan kewangan yang baik, jadi bentang Bajet penting, tetapi pelaksanaannya juga sama penting. Setakat ini, itu yang saya lihat dan amati, saya masih sedang membelek dokumen Bajet 2022 dan Bajet 2021,” katanya.










