Bahagian UMNO kena akur keputusan putus kerjasama Bersatu - Utusan Malaysia

Bahagian UMNO kena akur keputusan putus kerjasama Bersatu

AZLAN MAN (tengah) pada program agihan 1,000 bakul makanan peringkat negeri ini di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh, Kangar, Perlis, hari ini. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Bahagian-bahagian UMNO perlu akur keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum ini yang memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man berkata, keputusan itu adalah kehendak akar umbi yang diterjemahkan di dalam PAU.

Katanya, keputusan PAU perlu dihormati serta dipatuhi meskipun ada pemimpin yang mempunyai perbezaan pandangan.

“Kita kena faham, bahagian-bahagian seluruh negara kena akur keputusan yang dibuat akar umbi menolak kerjasama dengan Bersatu.

“Kita tahu ada perbezaan pandangan namun akhirnya kita kena akur juga keputusan badan tertinggi parti itu. Parti sudah tetapkan hala tuju, kena akur,” katanya ketika ditemui selepas program agihan 1,000 bakul makanan peringkat negeri ini di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan, UMNO bahagian itu tetap menjalinkan kerjasama dengan Bersatu dan Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Kata Shahidan, kerjasama tersebut bukan cadangan daripada pemimpin semata-mata sebaliknya akar umbi juga mahu melihat kerjasama berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai keyakinan PN negeri mampu merampas Perlis dalam PRU-15, Azlan berkata, siapa sahaja boleh melontarkan keyakinan namun mesti dilihat sama ada praktikal atau sebaliknya.

Katanya, masing-masing berusaha bagi mendapatkan mandat daripada rakyat dan tidak menjadi kesalahan keyakinan itu.

“Biasalah, saya pun boleh kata kenyataan yang sama juga pilihan raya akan datang seluruh Malaysia dikuasai Barisan Nasional (BN). Kenyataan seperti itu sesiapa sahaja boleh buat tapi lihat sama ada praktikal atau tidak lah.

“Kita akan terus berusaha memastikan Perlis kekal di bawah BN dan meyakinkan rakyat bahawa BN mampu memberikan faedah serta kebaikan kepada rakyat.

“Saya tengok rakyat juga telah melihat faedah itu yang tidak dapat dilihat dengan sekelip mata sebaliknya memerlukan masa yang panjang. Alhamdulilah, pada tahun ini, sebelum ini dan mendatang kita akan lihat faedah-faedah ini dapat dinikmati oleh rakyat, ” kata Menteri Besar itu. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN