"Bagi saya, kalau boleh jangan sebut nama." - Aznil Nawawi - Utusan Malaysia

“Bagi saya, kalau boleh jangan sebut nama.” – Aznil Nawawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengacara televisyen terkenal negara, Datuk Aznil Nawawi, tidak menolak pentingnya seseorang pengacara atau hos rancangan sebuah program tv untuk meraih ilmu, pengetahuan dan pengalaman ketika menjalankan tugas tersebut.

Menurut Aznil yang juga dikenali dengan panggilan Pak Nil, dia memahami tugas pengacara yang ada ketika perlu memprovokasi tetamu jemputan dalam membincangkan sesuatu topik, namun provokasi itu haruslah dalam suasana berhemah dan bertanggungjawab.

“Saya memahami kadang-kadang keterujaan semasa mengacara, nak bercerita dengan seronoknya dalam sebuah program. Ada ketika, pengacara berdepan dengan situasi di mana tetamu susah untuk melontarkan suara. Maka, satu cara ialah, dengan melakukan teknik provokasi.

“Peranan itu adakala terpaksa dimainkan bagi membolehkan perbincangan itu menjadi hidup. Provokasi supaya tetamu jadi gembira, jadi marah, jadi kalut untuk memastikan dia bercakap. Tetapi harus dilakukan dengan bertanggungjawab, begitu juga tetamu jemputan itu sendiri.

“Bagaimanapun saya percaya, bahawa ilmu, pengetahuan dan pengalaman itulah yang mendewasakan pengacara itu,”katanya.

Aznil berkata demikian semasa ditemui pada majlis pelancaran produk baharu Eskayvie Sdn Bhd, Diffenz Junior di Hotel St Regis di sini semalam.

Kehadirannya juga adalah sebagai duta jenama tersebut yang dinaungi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Eskayvie, Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al Qudri.

Selain itu, kata Aznil, tetamu undangan juga seharusnya bersikap cakna dengan setiap butir bicara yang dikeluarkan semasa ditemubual bagi mengelak isu sensitif daripada berlaku.

“Contohnya, menerusi apa yang berlaku baru-baru ini dalam sebuah rakaman program TV, ada tetamu menyebut nama si polan, si polan. Bagi saya kalau boleh jangan sebut nama. Satu lagi, secara umum, stesen tv juga bertanggungjawab untuk menutup nama yang disebut atau sunting keluar perkara sensitif.

“Tetapi, kita belajarlah. Saya sendiri pun masih lagi belajar meski sudah 30 tahun buat kerja ini dalam industri,”katanya.

Kongsi Aznil lagi, secara peribadi, dia bersyukur kerana tidak terlibat dalam rakaman program tersebut.

“Kalaulah berlaku pada saya ketika itu, adakah saya akan turut sama gembira rancak bercerita atau bagaimana? Kita sendiri pun tak tahu. Sebab, satu sudut lagi, dengan jawapan yang diberikan, ia adalah bahan kandungan.

“Kalau ditayang pada Youtube, memang mampu meraih jutaan jumlah tontonan. Sebab sekarang, TV bersaing dengan platform media sosial dan digital. Itu semua adalah bahan kandungan,”katanya.

Baru-baru ini, telah tular di media sosial mengenai satu video dari salah satu rakaman program TV tempatan yang menghimpunkan beberapa pelakon untuk menceritakan pengalaman mereka melakonkan watak jahat yang menyaksikan Shuk Sahar sebagai pengacaranya.

Menerusi rakaman video tersebut, tetamu jemputan iaitu pelakon Fauzi Nawawi dikatakan telah menceritakan semula adegan panas yang pernah dilakonkan bersama pelakon Raja Farah menerusi filem Anak Halal, sebelum ini.

Perkara itu bertukar menjadi kontroversi apabila netizen merasakan ia tidak sepatutnya diceritakan dan turut mendapat respons Raja Farah dan suaminya, Iskandar Ismail yang kecewa dengan situasi tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya