IPOH: Perselisihan faham berkaitan kegiatan mencuri kabel dipercayai menjadi punca seorang remaja lelaki dibunuh sebelum mayatnya ditemukan dalam sebuah kereta di Jalan Lang Indah A/5 di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, mangsa berusia 18 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta jenis Honda Accord kira-kira pukul 5.45 petang, 12 Mei lalu sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati mangsa maut disebabkan kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul.
“Siasatan lanjut mendapati, mangsa dibawa ke sebuah kawasan kuil di Tanjung Rambutan dan dipukul beramai-ramai menggunakan tangan, kaki dan beberapa objek tumpul.
“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan kegiatan mencuri kabel,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, bertindak atas siasatan yang dijalankan, polis menahan enam lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 36 tahun bagi membantu siasatan.
Katanya, lima daripada mereka akan dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh esok mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Seorang lagi individu yang turut ditahan akan dijadikan saksi pendakwaan selepas siasatan mendapati dia tidak terlibat secara langsung dalam kejadian tersebut.
“Usaha juga sedang dijalankan bagi mengesan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya. – UTUSAN










