PORT DICKSON: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan memohon untuk menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam berhubung spekulasi mendakwa Kerajaan Negeri Melaka bakal tumbang.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau juga tidak mengetahui secara lebih lanjut tentang situasi semasa yang berlaku termasuk gerakan untuk menukar kerajaan di negeri tersebut.
“Ada berita (kata) saya mohon menghadap tetapi saya tidak, belum ada permohonan untuk saya menemui TYT (Tuan Yang Terutama).
“Orang memaklumkan, tetapi tiada yang konkrit. Saya hanya mendengar laporan, tiada yang konkrit dalam pengetahuan saya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan tinjauan di Pantai Telok Kemang, di sini hari ini.
Dilaporkan terdapat spekulasi yang mendakwa Kerajaan Negeri Melaka yang diterajui UMNO bakal tumbang pada bila-bila masa selepas dikatakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH).
Turut dilaporkan, Anwar yang juga Pengerusi PH dalam usaha untuk menghadap Mohd. Ali berhubung perkara tersebut. – UTUSAN ONLINE